X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP rampas barangan tiruan bernilai RM25,000

Sebanyak 110,000 unit barangan tiruan bernilai RM25,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur dalam serbuan di dua premis berasingan di Lorong Haji Taib dan Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur merampas 110,000 unit barangan tiruan bernilai RM25,000 dalam serbuan di dua premis berasingan di Lorong Haji Taib dan Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur pada Selasa.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Zubir Hamsa berkata, serbuan itu dijalankan pegawai KPDNHEP bersama wakil pemilik cap dagang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, sebuah premis pemborong di Lorong Haji Taib dikesan memiliki barang-barang yang disyaki tiruan terdiri daripada beg, dompet dan tali pinggang berjenama.

"Pemeriksaan di sebuah gudang di Bandar Sri Damansara menemui sejumlah mata pisau cukur dari jenama terkenal yang disyaki tiruan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua barang tersebut telah disita kerana disyaki menggunakan cap dagangan secara tidak sah.

"Peniaga borong di Jalan Haji Taib didapati menjual barangan tersebut secara dalam talian dan borong kepada pelanggan di seluruh Malaysia.

"Peniaga yang menjual mata pisau cukur pula didapati mengedarkan barangan tersebut untuk jualan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Zubir berkata, serbuan itu hasil daripada risikan selama seminggu bermula dari maklumat penjualan secara dalam talian.

"Berdasarkan maklumat tersebut, pihak KPDNHEP WPKL berjaya mengesan stor penyimpanan yang berada di Lorong Haji Taib dan Bandar Sri Damansara.

"Siasatan lanjut akan dibuat terhadap peniaga terbabit di bawah Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Dalam pada itu katanya, merujuk kepada statistik penghasilan kes sepanjang tahun 2020 sehingga awal tahun 2021, sebanyak 51 kes telah terhasil di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai rampasan sebanyak RM7.25 juta.

"Kementerian memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana orang supaya tidak melanggar undang-undang khususnya melibatkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!