Darurat: Kuasa jemaah menteri, undang-undang sedia ada kekal

Shamrahayu bersiaran secara maya pada program Sinar Live yang bertajuk 'Darurat Apa Yang Kita Tak Tahu? pada Rabu.
Shamrahayu bersiaran secara maya pada program Sinar Live yang bertajuk 'Darurat Apa Yang Kita Tak Tahu? pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa walaupun satu Jawatankuasa Khas Bebas bakal ditubuhkan bagi mengendali pelaksanaan darurat.

Pakar Perlembagaan, Profesor Shamrahayu Abd Aziz berkata, semua peruntukan undang-undang sedia ada juga kekal walaupun darurat diisytiharkan.

“Semua peruntukan undang-undang sedia ada berjalan seperti biasa. Belum ada undang-undang yang menyekat kuasa jemaah menteri.

“Rakyat tidak perlu mempersoalkan perkara itu atau bimbang dengan pentadbiran kerajaan. Pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa walaupun diumumkan satu Jawatankuasa Khas Bebas akan melaksanakan darurat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sinar Live yang bertajuk 'Darurat Apa Yang Kita Tak Tahu?' yang bersiaran secara maya pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, pengisytiharan darurat boleh dilakukan jika negara berdepan ancaman besar dalam kedudukan ekonomi, keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Katanya, pengisytiharan darurat membolehkan perundangan diluluskan tanpa terikat dengan peruntukan Perlembagaan, khususnya dalam mengawal penularan Covid-19.

“Pengisytiharan darurat itu bukan bermakna kerajaan sedia ada terbubar kerana tidak berlaku pembubaran Parlimen. Pelaksanaan darurat memberi kuasa kepada Yang di-Pertua Agong menggubal ordinan atau undang-undang ketika Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak bersidang.

Artikel Berkaitan:

“Dalam konteks ini, baginda akan dinasihat dan diberikan panduan oleh Jawatankuasa Khas ini. Tetapi kita masih belum mendengar perincian tentang jawatankuasa itu dalam bentuk ordinan atau 'instrument' undang-undang.

“Dalam titah Diraja, Seri Paduka hanya menyatakan bahawa jawatankuasa ini antara lain membuat syor kepada baginda tentang hal ehwal penularan Covid-19 sama ada untuk menamatkan proklamasi darurat pada 1 Ogos.

“Jadi pada pandangan saya, kita sebagai rakyat masih lagi mempunyai ruang untuk menyampaikan pandangan kita tentang penubuhan jawatankuasa khas itu,” katanya.

Shamrahayu berkata, proses pengisytiharan darurat perlu dilihat sebagai langkah positif bagi memastikan penularan virus Covid-19 tidak menjadi bertambah teruk.

“Darurat ini tidak dinyatakan satu masa tertentu dan tidak dinyatakan dalam Perlembagaan, jadi tarikhnya boleh ditetapkan. Pada pandangan saya, Yang di-Pertua Agong boleh menarik balik proklamasi darurat pada bila-bila masa dan Perlembagaan tidak menyatakan ia hanya boleh ditarik balik oleh Parlimen.

“Jadi menetapkan darurat sehingga 1 Ogos, dari segi perundangan tiada ada isu sah atau tidak (legality or illegality). Mungkin tarikh itu dipilih selepas sesi perbincangan sudah diadakan dengan pihak berkaitan seperti keselamatan, kesihatan dan sebagainya.

“Ini juga menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk tidak memanjangkan tempoh darurat itu selain memberikan peluang kepada rakyat memantau supaya kerajaan bersungguh-sungguh untuk tidak memanjangkan lagi tempoh darurat itu,” katanya.