X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 04 Disember 2021

Agong, Permaisuri luang masa santuni mangsa banjir di Pekan

Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah berkenan menziarah mangsa banjir di Kampung Tanjung Medang, Pekan pada Khamis. - Foto Bernama
A
A

PEKAN - Keceriaan jelas terpancar di raut wajah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Kampung Serambi, Pekan sejurus menerima keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis.

Seri Paduka Baginda yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan tiga anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah turut kelihatan menyantuni penduduk kampung berkenaan dengan bertanya khabar.

Lebih istimewa Seri Paduka Baginda berdua turut meluangkan masa menemani penduduk berkenaan menikmati juadah tengah hari di pusat pemindahan yang menempatkan kira-kira 100 mangsa banjir itu.

Dalam lawatan berkenaan, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada penduduk yang terjejas bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir.

Selain Kampung Serambi, Seri Paduka Baginda turut menyantuni mangsa banjir di Kampung Tanjong Medang, Kampung Acheh, Kampung Temai, Kampung Padang Rumbia, Kampung Pulau Rumput dan Kampung Paloh Hinai.

Al-Sultan Abdullah bersama anakanda Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah mendayung sendiri sampan ketika berkenan mencemar duli meninjau situasi banjir di Daerah Pekan, pada Khamis. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah bersama anakanda Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah mendayung sendiri sampan ketika berkenan mencemar duli meninjau situasi banjir di Daerah Pekan, pada Khamis. - Foto Bernama

Sementara itu, Robiani Bakar, 56, berkata, kunjungan Seri Paduka Baginda sekeluarga menghilangkan rasa sedihnya yang kematian anak akibat kanser esofagus dua tahun lalu.

“Selepas kematian anak sulung saya, hari-hari tanpa gagal saya mesti ziarah kubur arwah, sampai menghidap pelbagai penyakit sehingga saya strok.

“Alhamdulillah, lega dan hilang rasa sedih, Seri Paduka Baginda berdua amat baik dan pesan supaya saya jaga kesihatan... saya amat tersentuh dan terharu, memang saya tak jangka Seri Paduka Baginda akan duduk dan berborak di meja kami,” katanya kepada Bernama.

Bagi Nur Aniza Md Jan, 35, harapan beliau untuk bertemu Seri Paduka Baginda akhirnya menjadi kenyataan apabila dapat bersemuka dengan keluarga diraja itu secara nyata serta terharu dengan keprihatinan Al-Sultan Abdullah.

“Macam tak percaya selalu saya tengok Seri Paduka Baginda berdua di Facebook dan media sosial lain tapi hari ini ada depan mata saya, Seri Paduka Baginda sempat bertanya usia kandungan saya sekarang dan pesan supaya jaga diri dan anak baik-baik,” katanya yang dijangka melahirkan cahaya mata ketiga pada bulan depan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!