Kelantan FC berdepan hukuman pemotongan tiga mata

STUART RAMALINGAM
STUART RAMALINGAM
A
A
A
KELANTAN FC akan dikenakan tindakan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Premier musim ini sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemain pasukan berkenaan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata ,keputusan itu dicapai pada Jawatankuasa Status FAM dan bakal dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM sekiranya KAFA gagal melunaskan tunggakan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.

“Walaupun proses pemisahan status daripada persatuan bola sepak kepada kelab bola sepak sudah selesai, tindakan masih boleh diambil ke atas mana-mana pasukan kerana isu ini melibatkan kebajikan pemain,” jelas Stuart kepada Bernama hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Status FAM Mohd Joehari Ayub dilaporkan berkata 11 bekas pemain Kelantan telah membuat tuntutan rasmi berjumlah RM187,778.92 kepada KAFA.

Menurut Mohd Joehari, KAFA dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada Muhammad Fauzi Rozlan berjumlah RM63,628.18; Muhammad Zulfahmi Awang (RM50,000); Muhammad Afiq Azuan (RM32,141.99) dan Wan Mohammed Afiq Wan Mohamed Kasbi (RM21,000).

KAFA juga perlu melunaskan tunggakan gaji kepada Mohamad Azzrie Aripin sebanyak RM4,075; Muhammad Syafiq Syahmi Husin (RM3,877) serta Muhammad Fahmi Izzuddin Ab Rahman (RM2,681).

Pemain lain yang membuat tuntutan ialah Ahmad Fathi Irfan Azlan sebanyak RM3,279; Mohamad Fazliera Ezlan Mohd Rosli (RM3,126.25); Ahmad Hamzalah Zulkiflee (RM2,681) dan Muhammad Fikri Hakim Kama (RM1,289.50).

Menurut Stuart, wakil KAFA dan Kelantan FC pernah mengadakan pertemuan dengannya sebelum ini, dengan pihak KAFA memberi jaminan akan melunaskan kesemua tunggakan gaji pemain berkenaan.

Kelantan pernah dipotong tiga mata dalam saingan Liga Premier pada musim lalu susulan kegagalan KAFA menjelaskan tunggakan gaji kepada beberapa pemain pasukan berkenaan mengikut tempoh yang ditetapkan. - Bernama
Artikel Berkaitan: