PM perlu laksana langkah wajar bantu rakyat ketika PKP

FAHMI
FAHMI
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil tidak menafikan keputusan kerajaan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini adalah suatu langkah yang perlu.

Bagaimanapun, beliau kesal kerana ia turut dilaksanakan dalam keadaan banyak syarikat dan pekerja baharu mula hendak ‘bernafas’ semula selepas siri PKP dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

"Daripada pengamatan saya, banyak syarikat, restoran serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sangat terkesan, malah mungkin terpaksa ditutup dan ramai yang akan hilang kerja.

"Dari segi ekonomi, perlu diingatkan bahawa Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Johor menyumbang 62.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

"Pada ketika kadar pengangguran meningkat ke 4.8 peratus setakat November 2020, sudah pasti PKP terbaharu di enam negeri ini akan meninggalkan kesan mendalam kepada ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Berikutan itu, beliau yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera melakukan tindakan yang disifatkannya wajar dilaksanakan.

Fahmi menyarankan agar pelaksanaan moratorium pinjaman bank, syarikat kredit dan agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia dibuat secara automatik sehingga 31 Jun 2021.

Beliau turut berpandangan agar sewa percuma diberikan bagi penghuni rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) sehingga 31 Jun 2021 dan melanjutkan tempoh kuat kuasa Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 (Akta 829) sehingga 31 Disember 2021 terutama bagi bahagian-bahagian yang melibatkan kontrak, insolvensi, Akta Sewa Beli dan mana-mana perkara lain yang difikirkan perlu.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu menguatkuasakan larangan terhadap tindakan pengusiran (eviction) dan pemilikan semula (repossession) terutama bagi pemilik individu sehingga sekurang-kurangnya 31 Jun 2021," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memastikan semua pemohon yang mahu mengeluarkan wang daripada Akaun Satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibantu secukupnya termasuk memudahkan proses dengan mengurangkan syarat yang dikenakan sebelum ini.

"Juga menambah dana serta memperluas sektor-sektor pekerjaan yang layak menerima bantuan Program Subsidi Upah 3.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Pihak kerajaan juga perlu segera menyatakan langkah-langkah serta bantuan tambahan lain yang akan dilaksanakan bagi memastikan rakyat Malaysia khususnya di enam negeri terlibat akan mendapat sokongan yang secukupnya selama PKP dilaksanakan," katanya.