Tiga kakitangan TNB Muar positif Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pejabat TNB Muar, Johor disahkan positif Covid-19 pada Rabu.

TNB dalam satu kenyataan pada Khamis memberitahu, ketiga-tiga kakitangan itu bagaimanapun bukan petugas di bahagian perkhidmatan pelanggan Kedai Tenaga dan sedang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Menurutnya, kontak rapat mereka juga telah menjalani ujian saringan Covid-19 serta kuarantin di rumah.

"Sebagai syarikat yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan warga kerja dan pelanggan kami, Pejabat TNB Muar ditutup mulai Rabu (semalam) untuk kerja-kerja sanitasi sepenuhnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pejabat ini akan dibuka selepas mendapat kelulusan KKM dan penutupan pejabat ini juga tidak memberi kesan kepada bekalan elektrik di Muar," katanya.

Katanya, semua urusan perkhidmatan TNB menerusi Kedai Tenaga seperti semakan dan pembayaran bil hanya boleh dilaksanakan menerusi portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau aplikasi myTNB yang boleh dimuat turun di Google Playstore, Apple App Store dan Huawei AppGallery.

"Ia juga susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Johor.

"Warga kerja dan pelanggan TNB dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi tangan, selain mematuhi SOP yang ditetapkan pihak KKM," katanya.

Artikel Berkaitan: