X

Kindly register in order to view this article
!

Koperal tak mengaku salah terima suapan RM350

Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas tuduhan menerima suapan RM350, kira-kira dua tahun lepas.
A
A

KUANTAN - Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tuduhan menerima suapan RM350, kira-kira dua tahun lepas.

Mohd Salleh Harun, 56, yang beralamat di Sungai Soi, di sini didakwa menerima suapan itu daripada seorang peniaga wanita berusia 60-an pada 12 tengah hari, 21 Julai 2019 di tempat letak kereta sebuah gerai makanan di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bertugas sebagai pengawal pengiring di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Muhammad Saifuldin Ab Rahman merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan pihak pendakwaan atas alasan jumlah itu adalah tinggi jika dibandingkan dengan pendapatan bersih tertuduh sekitar RM1,200 sebulan.

"Tertuduh bukan hanya menanggung keluarganya, namun turut membantu ibu dan dua orang adik.

"Sepanjang lebih 30 tahun bertugas, tertuduh tidak pernah mempunyai rekod kesalahan. Malah sebagai anggota polis, tertuduh sedia maklum akan tanggungjawab untuk hadir ke mahkamah," katanya.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Februari ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kamariah Seman. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!