Pertikai keabsahan kerajaan PN, perbuatan tidak bertanggungjawab

MUHAMMAD FATHI
MUHAMMAD FATHI
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan mempertikaikan keabsahan kerajaan hari ini iaitu Perikatan Nasional (PN) serta Perdana Menteri dianggap sebagai tidak bertanggungjawab.

Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, Perlembagaan menyediakan peraturan berkaitan pelantikan dan penamatan jawatan Perdana Menteri.

Menurutnya, pelantikan Perdana Menteri oleh Yang Di-Pertuan Agong melalui Perkara 43(2), manakala penamatan jawatan Perdana Menteri adalah apabila berlaku pilihan raya umum selepas pembubaran Parlimen di bawah Perkara 55 atau 43(4), atau apabila beliau meletakkan jawatan sama ada kerana hilang sokongan majoriti di bawah Perkara 43(4) atau kerana sebab-sebab lain.

Beliau berkata, dalam realiti yang berlaku kini tidak ada satu situasi pun yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri sedia ada, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin telah menamatkan jawatannya menurut Perlembagaan.

"Fakta bahawa beliau kehilangan sokongan majoriti belum menyebabkan secara automatik jawatannya terlucut.

"Perlembagaan menyebut dua pilihan bagi seorang Perdana Menteri hilang sokongan kepercayaan iaitu sama ada meletakkan jawatan atau memohon pembubaran dewan. Apabila kedua-duanya tidak dilakukan, ia tidak bermakna bahawa kerajaan sekarang sudah hilang keabsahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan akhbar Majlis Profesor Negara (MPN) bertarikh 13 Januari 2021 yang didakwa mempertikaikan keabsahan kerajaan yang ada sekarang.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, hal itu juga boleh disandarkan kepada beberapa faktor seperti pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 melalui nasihat Perdana Menteri, kedua Kabinet menunjukkan secara tersirat bahawa Seri Paduka Baginda masih mahu Perdana Menteri meneruskan tugasnya dan realiti bahawa tiada mana-mana ahli Dewan Rakyat lain yang mempunyai kepercayaan majoriti sekurang-kurangnya 111 bilangan ahli.

Artikel Berkaitan:

Katanya, calon terdekat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim juga hanya memiliki 91 sokongan.

"Faktor ketiga, kesukaran untuk mengumpulkan sokongan bagi mencukupkan kepercayaan majoriti kerana perbezaan pendapat serta peletakan jawatan Perdana Menteri sekarang akan mengheret negara kepada kecelaruan politik yang berpanjangan.

"Realiti bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) belum sesuai diadakan kerana wabak Covid-19 juga menjadi faktor," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Fathi berkata, berdasarkan fakta itu, maka sebarang bentuk pertikaian ke atas keabsahan kerajaan sedia ada adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, Perdana Menteri dan anggota kabinet sekarang adalah pasukan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, walaupun sokongan dan kepercayaan majoriti pernah dibuktikan melalui beberapa undian di Parlimen.

Oleh itu katanya, kerajaan sedia ada adalah kerajaan yang sah menurut Perlembagaan sejak dari awal dan apabila wujud beberapa ahli Parlimen menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri sehingga jumlah sokongan kurang dari satu perdua, maka dalam keadaan biasa seseorang Perdana Menteri itu akan meletakkan jawatan atau memohon membubarkan Parlimen.

"Tetapi, jika Perdana Menteri sekarang melakukan tindakan sedemikian, dalam realiti wabak dan politik semasa, maka ia boleh menjurus kepada mudarat yang lebih besar iaitu risiko lonjakan wabak Covid-19 dan risiko kecelaruan politik.

"Saya percaya langkah yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri sekarang adalah berteraskan prinsip maslahat dan langkah itu dilaksanakan melalui amalan syura iaitu selepas berunding dengan Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong, manakala Seri Paduka Baginda juga berunding dengan banyak pihak termasuk Majlis Raja-Raja dan tokoh-tokoh utama yang bukan dari suara politik," katanya.

Justeru katanya, tidak perlulah mempertikaikan keputusan yang dibuat dan berikan fokus kepada usaha untuk mengeluarkan negara dari belenggu Covid-19, kesempitan hidup rakyat dan cabaran ekonomi.