Beberapa jalan Pasar Air Itam ditutup

Polis menutup beberapa jalan di Pasar Air Itam sepanjang PKP dilaksanakan sehingga 26 Januari ini.
Polis menutup beberapa jalan di Pasar Air Itam sepanjang PKP dilaksanakan sehingga 26 Januari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menutup beberapa jalan sekitar Pasar Awam Air Itam, di sini kepada semua kenderaan bermula pada Jumaat sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 26 Januari nanti.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, jalan yang ditutup adalah simpang Jalan Air Itam/Jalan Balik Pulau dan simpang Jalan Paya Terubong/Jalan Kampung Pisang.

Menurutnya, kesemua jalan itu ditutup bermula dari jam 6 pagi hingga 2 petang setiap hari sepanjang tempoh PKP.

"Orang ramai boleh merancang perjalanan dan menggunakan jalan alternatif lain. Jika hendak ke Balik Pulau, mereka boleh menggunakan Jalan Air Itam seterusnya Jalan Zoo dan Jalan Paya Terubong.

"Bagi mereka yang hendak ke pusat bandar pula, mereka boleh menggunakan Jalan Paya Terubong ke Jalan Zoo serta Jalan Air Itam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Soffian berkata, penutupan itu adalah salah satu usaha membendung penularan wabak Covid-19.

"Selain itu, tindakan penutupan jalan itu dibuat selepas kita mendapati banyak pengerakan kenderaan terutama yang diletakkan di luar pasar dan menyebabkan kesesakan serta menyukarkan kawalan pergerakan fizikal," katanya

"Berdasarkan pemantauan semalam (Rabu), kita mendapati pengunjung di Pasar Awam Air Itam mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Bagaimanapun, kita menjangkakan pertambahan pengunjung pasar pada Sabtu dan Ahad kerana hujung minggu," katanya.

Artikel Berkaitan: