Remaja mengaku salah rosakkan salur paip penapis air jiran

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis terhadap tuduhan khianat dengan mematahkan salur paip penapis air jirannya, Ahad lalu.

Tertuduh juvana itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca dihadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didapati melakukan khianat ke atas penapis air jenis Skywater Treatment milik jirannya, dengan menolak saluran paip sehingga patah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Pandan Jaya, pada jam 8.40 malam, 10 Januari lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun, atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Abdullah mencadangkan tertuduh tidak diberi ikat jamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Faiz Fahmy Abd Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), merayu agar anak guamnya diberi jaminan dengan alasan dia perlu menjaga ibunya yang mempunyai masalah kesihatan.

"Dia tidak lagi bersekolah sejak berusia 13 tahun dan bapanya hanya bekerja sebagai buruh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Setelah mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Farah Nasihah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM800.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes pada 24 Mac depan untuk laporan akhlak.