PKP: Pulau Pinang lulus pakej bantuan kewangan RM20 juta

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang meluluskan pakej bantuan kewangan ketiga berjumlah RM20 juta bagi menghadapi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pakej bantuan itu diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang yang diadakan pada Rabu.

Menurutnya, pakej kewangan itu untuk meringankan beban kumpulan sasaran yang terkesan pelaksanaan semula PKP di Pulau Pinang.

"Tahun lalu, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan sebanyak RM151 juta kepada individu, perniagaan dan organisasi yang terjejas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, kerajaan negeri memohon semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan lengkuk kes Covid-19 di negeri berkenaan dapat dilandaikan.

"Kita harus sedar bahawa mengikut statistik Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, hingga semalam (Rabu), dari jumlah terkumpul 5,479 kes, 3,246 (59 peratus) adalah warganegara sementara 2,233 (41 peratus) bukan warganegara.

"Jelas bahawa virus ini ada di mana-mana, dan sesiapa saja, sama ada tempatan atau asing boleh dijangkiti. Oleh itu, kita tidak boleh leka dan sentiasa perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 berjumlah RM76 juta bagi memperkukuh ekonomi negeri selepas pelaksanaan PKP.

Artikel Berkaitan:

Pengumuman itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi insentif bantuan Covid-19 yang diluluskan Kerajaan Pulau Pinang pada tahun lalu berjumlah RM151 juta.