Tarik saman Sarawak Report: Bersatu minta Pas terus-terang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Pas diminta mendedahkan perkara sebenar keputusan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertindak menarik balik tuntutan saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan menyelesaikannya di luar mahkamah.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya, menyifatkan keputusan Abdul Hadi itu pelik kerana laporan media pada 1 Mei 2018 yang memetik peguam Pas, Wan Rohomi Wan Daud sebagai berkata, Abdul Hadi telah memenangi lima permohonan interlokutor dalam kes saman fitnah terhadap Clare.

"Sebelum PRU14, gegak -gempita dihebahkan Pas dan Presidennya (Abdul Hadi) berjaya menebus maruah setelah menang saman fitnah ke atas Clare dan Sarawak Report atas dakwaan menerima dana RM90 juta, sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.

"Namun, tiba-tiba sahaja Pas dan Presidennya dilapor mahu selesaikan kes itu di luar mahkamah. Kalau artikel Sarawak Report itu fitnah, mengapa dalam terma penyelesaian, artikel itu masih dibenarkan..kenapa tak minta diturunkan dan bukankah artikel itu punca Pas dan Presidennya memfailkan saman di London?

"Mengapa Pas tidak teruskan tuntutan di mahkamah termasuk memanggil saksi untuk mengukuhkan hujah mereka? Mengapa pula Pas dan Presidennya memilih untuk selesaikan di luar mahkamah," soalnya.

Dalam pada itu, Abu Bakar turut mendesak Pas dan Abdul Hadi mendedahkan perbelanjaan wang derma yang dikutip daripada penyokong parti sebelum ini bagi menampung kos guaman di London dalam tuntutan terhadap Sarawak Report.

"Jika sebelum ini Pas merayu bantuan kewangan, tetapi hari ini Pas dan Presidennya seolah-olah 'cakap tak serupa bikin'. Apakah penyokong Pas telah tertipu kerana wang derma mereka itu tidak digunakan dalam tuntutan terhadap Sarawak Report," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar mahu Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz supaya menjelaskan dakwaan rakaman audio yang mengaitkan kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat bahawa parti itu menerima wang daripada Umno.

Artikel Berkaitan:

"Kalau Nik Abduh merasakan rakaman suara itu sebagai fitnah dan tak pernah berlaku, kenapa beliau tidak angkat sumpah di mahkamah dan beri keterangan? Beliau perlu tampil untuk menjelaskan perkara sebenar.

"Alasan penyelesaian luar mahkamah itu dibuat kerana mahu mengelak pembaziran, saya rasa ia tidak masuk akal. Pas sentiasa bercakap soal maruah parti dan Presiden mereka, tetapi mereka tidak sanggup menanggung kos untuk mempertahankan parti dan pemimpin mereka sendiri," ujarnya.