Mexico cari alternatif kepada Facebook, Twitter

No Image Caption
A
A
A

MEXICO CITY - Kerajaan Mexico akan mempertimbangkan kemungkinan mewujudkan rangkaian sosial nasional yang menjamin kebebasan bersuara berikutan sekatan besar-besaran akaun Presiden Donald Trump, lapor Agensi Berita Sputnik, memetik Presiden Mexico, Andres Manuel López Obrador.

"Kami akan terus fikirkan, analisis semua yang berkaitan dengan rangkaian sosial, kami ambil berat dengan kebebasan. Jadi, isu ini (wujudkan platform sosial alternatif) yang kami mahu tangani, dan kami tidak menolak bahawa Majlis Nasional mengenai Sains dan Teknologi, Kementerian Dalam Negeri, jabatan undang-undang, kementerian luar dan komunikasi akan mencari alternatif dan kaedah lain, " katanya pada sidang akhbar yang disiarkan di Twitter kerajaan.

Lopez Obrador menekankan hasrat utama kerajaan adalah untuk menjamin kebebasan di negara ini dan tiada penapisan.

"Saya sudah bercakap mengenai tindakan Twitter dan Facebook baru-baru ini. Sekali lagi, mustahil syarikat tertentu dapat ditubuhkan sebagai institusi penapisan global... ini tidak boleh diterima dan dibenarkan, kerana bertentangan dengan kebebasan," kata presiden.

Twitter, Facebook dan platform rangkaian sosial lain sebelum ini bertindak menggantung akaun Trump, dan ada di antaranya secara kekal.

Trump pada Selasa menyatakan platform media sosial, termasuk Twitter dan Facebook, telah melakukan "kesilapan besar" dengan menyekatnya dan memberi amaran akan "tindakan balas."

Twitter, Facebook dan platform media sosial lain menggantung Trump susulan tindakan sekumpulan penyokongnya menyerbu Capitol AS pada Rabu lalu, kerana membantah pengesahan anggota parlimen mengenai undi elektoral saingannya Joe Biden daripada Demokrat.

Kumpulan itu bertempur dengan polis dan menyebabkan kerosakan harta awam. Enam orang, termasuk seorang polis dan penyokong Trump meninggal dunia dalam kejadian tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: