Geng Mat Nen tumpas

Polis berjaya selesaikan kes di tiga daerah babitkan kerugian RM160,000

Adzli (kanan) menunjukkan barangan rampasan pecah rumah dan kedai cuci kereta sambil disaksikan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abd Rahman@Abd Rahim (kiri).
Adzli (kanan) menunjukkan barangan rampasan pecah rumah dan kedai cuci kereta sambil disaksikan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abd Rahman@Abd Rahim (kiri).
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis berjaya menumpaskan Geng Mat Nen termasuk ketua kumpulan yang diburu kerana menyebabkan kematian seorang anggota sekali gus berjaya menyelesaikan tujuh kes membabitkan kerugian mencecah RM160,000.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dengan tertangkapnya ketua kumpulan berusia 24 tahun di Tikam Batu pada 10 Januari lalu itu membolehkan polis menyelesaikan kes jenayah yang dilakukan mereka antaranya pecah rumah dan kedai cuci kereta serta curi kenderaan di Kuala Muda, Kubang Pasu dan Seberang Perai Utara bermula Januari 2020 hingga Januari 2021.

Menurutnya, ketua kumpulan yang dikenali sebagai Mat Nen, melarikan diri ketika dikejar polis sehingga menyebabkan anggota yang mengejarnya, Koperal K Mahadir Elis, 38, maut dilanggar motosikal.

"Susulan itu, polis telah melakukan beberapa serbuan sekitar Sungai Petani dan Pulau Pinang sehingga kesemua enam suspek ditahan berusia antara 24 hingga 52 tahun," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Khamis.

Adzli menunjukkan sebuah kereta jenis Honda Accord yang disyaki dicuri bagi menjalankan kegiatan jenayah.
Adzli menunjukkan sebuah kereta jenis Honda Accord yang disyaki dicuri bagi menjalankan kegiatan jenayah.

Dalam pada itu, Adzli berkata, polis juga berjaya merampas kembali beberapa barangan hasil kegiatan mereka antaranya seunit kompresor, vakum, tong warna kelabu, mesin pam air, basikal dan sebuah kenderaan jenis Honda Accord warna merah disyaki dicuri.

Katanya, modus operandi yang digunakan adalah mensasarkan kedai yang ditutup pada waktu malam di mana barangan yang dicuri akan dijual dengan harga murah kepada pembeli yang tidak dikenali.

"Semakan rekod lampau mendapati kesemua mereka mempunyai 20 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Kesemua suspek direman sehingga 14 Januari 2021 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.