Pelaksanaan PKP mesti adil kepada semua: Najib

Tangkap layar hantaran di Facebook Najib Razak pada Khamis.
Tangkap layar hantaran di Facebook Najib Razak pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta supaya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat dikuatkuasakan dengan lebih adil buat semua golongan.

Katanya, adalah tidak adil sekiranya peniaga kecil khususnya yang bergantung kepada pendapatan harian tidak dibenarkan berniaga sementara kedai yang beroperasi di pusat membeli belah dibenarkan beroperasi.

“Parkson boleh buka tapi peniaga kecil tak boleh buka gerai?

“Mesti adil pada semua, terutama bagi peniaga kecil yang bergantung pada pendapatan harian untuk kelangsungan hidup.

“Jika mahu tutup, tutup semua. Biar lebih tegas untuk dua minggu pertama ini agar PKP tidak akan dilanjutkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Menurutnya, penguatkuasaan yang lebih tegas perlu dilakukan dalam dua minggu pertama perintah tersebut dijalankan supaya ia tidak dilanjutkan lebih daripada tempoh yang ditetapkan.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian ketika mengulas mengenai kekecewaan ramai peniaga akibat daripada penyenaraian sektor dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan PKP yang tidak konsisten.

Terdahulu, portal Free Malaysia Today (FMT) melaporkan bahawa kedai fesyen dan pakaian yang berdiri sendiri (stand alone) tidak dibenarkan dibuka, namun gedung serbaneka yang menawarkan barangan yang sama dibenarkan beroperasi.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyenaraikan 16 sektor perniagaan yang dibenarkan dibuka antaranya, pusat membeli-belah, pasar raya atau pasar raya besar, 'departmental store', farmasi atau penjagaan diri dan kedai serbaneka atau pasar mini.

Selain itu, turut dibenarkan beroperasi ialah dobi (tidak termasuk layan diri), restoran dan kedai perabot kedai emas, kedai elektrik dan elektronik, kedai buku dan alat tulis, kedai perkakas, makanan haiwan, bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti, pusat pengedaran dan jualan kereta serta kedai runcit pengkhususan lain seperti di stesen minyak.