'Hangpa setan aku nak bunuh hangpa'

Besi sepanjang 122cm yang dirampas daripada suspek. Gambar kecil: Noorzainy Mohd Noor
Besi sepanjang 122cm yang dirampas daripada suspek. Gambar kecil: Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pesawah ditahan selepas mengamuk dan mengugut mahu membunuh dua adiknya dengan sebatang kayu dan besi di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan selepas adik lelakinya menghubungi polis ketika suspek sedang mengamuk di hadapan rumah mereka.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek bertindak demikian kerana berada dalam pengaruh dadah susulan ujian saringan air kencingnya positif methamphetamine dan morfin.

Tambahnya, suspek yang masih bujang itu juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan dadah.

Noorzainy berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, suspek mengamuk dengan menggunakan sebatang besi panjang dan kayu dengan mengetuk dinding serta menendang pintu rumah adiknya.

"Ketika kejadian, adik lelaki suspek sedang berbual dengan kakaknya (yang juga adik suspek) di hadapan rumah mereka. Mereka ternampak suspek sedang bercakap seorang diri namun tidak menghiraukannya kerana suspek didapati suka bercakap sendiri sejak tiga minggu lalu kerana masalah dadah.

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba suspek datang ke arah mereka sambil memegang besi dan kayu dengan berkata 'hangpa setan' kerana nampak dua beradik itu seperti jin," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, dua beradik yang ketakutan itu berlari masuk ke dalam rumah kerana bimbang dicederakan oleh suspek.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang berang menjerit meminta mereka keluar dengan berkata 'hangpa keluar, aku nak bunuh hangpa, aku nak pukul hangpa sampai mampus' sambil menendang pintu hadapan rumah sebanyak dua kali.

"Kedua-dua beradik itu berlari keluar melalui pintu belakang rumah lalu menghubungi polis. Polis tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian dan berjaya menahan suspek," katanya.

Noorzainy berkata, polis merampas sebatang besi sepanjang 122 sentimeter (cm) dan suspek ditahan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.