Dewan Perwakilan AS sokong Trump didakwa

Donald Trump - Foto AFP
Donald Trump - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjadi Presiden pertama dalam sejarah negara itu yang didakwa buat kali kedua setelah undian bagi mendakwanya berhubung kejadian rusuhan di bangunan Capitol, Washington mendapat kemenangan di Dewan Perwakilan AS pada Rabu.

Sebanyak 232 undi menyokong pendakwaan dilakukan ke atas Trump yang merupakan anggota parti Republikan manakala 187 lagi menentang di dalam dewan tersebut yang mempunyai majoriti wakil rakyat daripada parti Demokrat.

Bagaimanapun, seramai 10 wakil rakyat Republikan turut menyokong termasuk Liz Cheney iaitu anak kepada bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney dan berada di tangga ketiga dalam kepimpinan parti itu di dewan tersebut.

"Hari ini, melalui (undian) dua parti, Dewan Perwakilan menunjukkan tidak ada seorang pun yang berada di atas undang-undang bukan sahaja Presiden Amerika Syarikat," kata Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi seperti dilaporkan oleh AFP.

ARTIKEL BERKAITAN: Trump enggan bertanggungjawab kejadian rusuhan

FBI tahan penyokong Trump ceroboh masuk Capitol

'Trump, anda dipecat'

Berikutan keputusan itu, Dewan Senat akan mengadakan pendengaran bagi menentukan melalui undian sama ada Trump bersalah kerana menggalakkan para penyokongnya melakukan rusuhan di bangunan Capitol sehingga menyebabkan lima kematian pada 6 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Penyokong-penyokong itu merusuh selepas Trump memberikan ucapan di sebuah taman dekat Rumah Putih dengan memberitahu mereka bahawa bekas Naib Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokrat telah 'mencuri' pilihan raya Presiden pada 3 November tahun lalu.

Dalam kejadian itu, tindakan perusuh tersebut menyebabkan pengumuman kemenangan Biden sebagai bakal Presiden AS selepas memenangi undi elektoral terpaksa ditangguhkan beberapa jam ekoran perbuatan mereka menceroboh dan menggeledah bangunan Capitol yang menempatkan Dewan Senat dan Dewan Perwakilan Amerika.

Bagaimanapun, Dewan Senat tidak akan membuat pendengaran yang akan dipengerusikan oleh Ketua Hakim AS sebelum 20 Januari ini iaitu tarikh Biden akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden AS.

Ketua Dewan Senat, Mitch McConnell yang merupakan anggota parti Republikan berkata, beliau tidak akan memulakan pendakwaan terhadap Trump sebelum 20 Januari ini.

Namun, katanya, beliau terbuka untuk mengadakan undian bagi mensabitkan Trump dalam kejadian rusuhan tersebut selepas Biden menjadi Presiden.

Ini menunjukkan Trump terselamat daripada disingkirkan daripada jawatan Presiden AS beberapa hari sebelum penggal pemerintahannya berakhir.

Presiden AS itu sebelum ini terselamat dalam pendakwaan kali pertama pada tahun 2019 apabila Dewan Senat membebaskannya daripada dakwaan menyalahgunakan kuasanya.

Menurut BBC, Trump didakwa mendesak Ukraine untuk memberikan maklumat mengenai Biden dan anak lelakinya, Hunter bagi membantunya dipilih semula dalam pilihan raya Presiden AS.

Badan penyiaran British itu berkata, Presiden AS itu dituduh membuat dua tawaran kepada Ukraine iaitu menangguhkan bantuan ketenteraan bernilai AS$400 juta (RM1.6 bilion) yang sudah pun diluluskan Kongres AS atau pertemuan dengan Presiden Ukraine diadakan di Rumah Putih.

Ini adalah kerana Hunter pernah bekerja dengan sebuah syarikat Ukraine semasa Biden menjadi Naib Presiden AS. - Agensi