80 warga UniSZA sertai misi bantuan banjir

Antara warga UniSZA yang terlibat dalam Misi Bantuan Banjir UniSZA-KPT 2021 bagi membantu operasi pasca banjir di daerah Kemaman pada Selasa.
Antara warga UniSZA yang terlibat dalam Misi Bantuan Banjir UniSZA-KPT 2021 bagi membantu operasi pasca banjir di daerah Kemaman pada Selasa.
A
A
A

KEMAMAN - Seramai 80 warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terlibat dalam Misi Bantuan Banjir UniSZA-KPT 2021 bagi membantu operasi pasca banjir di daerah ini yang merupakan daerah terburuk dilanda bencana itu di Terengganu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr Mohd Afandi berkata, tumpuan utama misi bantuan disertai kakitangan dan pelajar UniSZA itu untuk membersih dan membaiki kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir.

"Setakat ini sebanyak 25 buah rumah, tadika, balai raya serta surau telah dibersihkan oleh sukarelawan UniSZA dalam tempoh sehari.

"Misi ini turut disertai penduduk kampung yang juga turun padang membantu sukarelawan ini sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, misi itu akan turut dilaksanakan di beberapa negeri yang dilanda banjir antaranya Johor, Perak, Pahang dan Kelantan.

"Kita sudah ada pasukan Hero Komuniti melalui Program Hero Komuniti Perdana: UniSZA Cakna di setiap negeri terbabit.

"Selain melaksanakan misi masing-masing dengan membersih rumah yang dilanda banjir, mereka akan turut menyalurkan sumbangan bantuan keperluan asas.

"Walaupun tanpa peralatan dan kemudahan logistik yang mencukupi, pasukan itu sudah berada di beberapa lokasi banjir terlibat dan telah pun melaksanakan misi bantuan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Program Hero Komuniti Perdana: UniSZA Cakna merupakan satu inisiatif untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik oleh mahasiswa UniSZA.

Sebelum ini, seramai 1,500 siswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menjalankan sukarelawan seluruh Malaysia termasuk enam negara luar iaitu Indonesia, Thailand, Kemboja, Nigeria, Mauritius dan Palestin.