Tuanku Muhriz titah semua pihak bersatu berdepan Covid-19

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
A
A
A

SEREMBAN - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menitahkan agar kepimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri serta rakyat keseluruhannya bersatu ketika negara mendepani cabaran Covid-19.

Baginda turut menyeru supaya semuanya sentiasa menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi, mempertahan dan melindungi negara.

"Kepentingan kestabilan negara perlu lebih diutamakan berbanding kecelaruan percaturan politik semasa yang meresahkan dan tidak berkesudahan.

"Sebagai pemimpin yang telah dibekalkan dengan amanah, berikanlah contoh teladan yang baik pada setiap masa dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kemaslahatan dan kepentingan rakyat, dan bukan untuk kepentingan sempit kelompok tertentu sahaja," titahnya sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-73.

Tuanku Muhriz turut bertitah supaya kerajaan negeri teguh mengemudi pentadbiran dan kreatif mencorakkan strategi yang lebih dinamik dalam pelaksanaan pembangunan negeri ini ke arah pemulihan ekonomi.

Titah baginda, usaha itu tidak hanya menuntut tanggungjawab di pihak kerajaan semata-mata tetapi perlu turut dipikul bersama oleh segenap lapisan masyarakat termasuk pihak swasta dalam menggembleng tenaga dan daya khidmat demi kesinambungan pembangunan dan kemajuan di Negeri Sembilan.

Baginda turut bertitah, sebagai sebuah negara majmuk yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, agama serta budaya perlu sentiasa mewujudkan permuafakatan dan mengetepikan perbezaan demi mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat.

"Beta menyeru agar semangat perpaduan ini terus diamalkan masyarakat sepanjang masa dan bukannya dalam situasi krisis sahaja," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Tuanku Muhriz bertitah, jika dibandingkan dengan negara-negara yang dianggap lebih maju dari segi kepakaran dan sistem kesihatan, kejayaan pengawalan penularan wabak Covid-19 di Malaysia adalah amat mengagumkan.

Kejayaan ini dicapai melalui kepimpinan agensi kesihatan di Malaysia yang telah mengatur perancangan dan strategi berkesan dalam memastikan penularan wabak ini dapat dibendung, titah baginda.

Sementara itu Tuanku Muhriz turut menyeru kepada semua agar menjadikan kebersihan sebagai satu budaya kerana baginda mendapati terdapat segelintir masyarakat yang memandang remeh akan pentingnya kebersihan dengan membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.

Baginda turut mengingatkan para penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat bahawa kurniaan ini merupakan pengiktirafan yang perlu sentiasa dipelihara kerana ia sangat berkait rapat dengan martabat dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.

"Oleh itu, setiap penerima mempunyai amanah untuk menjaga kemuliaan dan pengiktirafan yang dikurniakan dengan memastikan imej, tata susila, tingkah laku dan keperibadian masing-masing sentiasa terpelihara.

"Beta turut berasa bangga dan amat menghargai komitmen serta dedikasi yang ditunjukkan oleh semua petugas barisan hadapan kesihatan, juga kepada anggota-anggota polis dan tentera serta para sukarelawan daripada agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu-individu yang telah memberi bantuan dengan pelbagai cara," titah baginda.