Majlis kahwin, tunang, resepsi tidak dibenarkan di Kelantan

Kerajaan Kelantan tidak membenarkan penganjuran majlis perkahwinan, pertunangan dan resepsi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Gambar hiasan
Kerajaan Kelantan tidak membenarkan penganjuran majlis perkahwinan, pertunangan dan resepsi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU- [DIKEMASKINI] Kelantan tidak membenarkan sama sekali penganjuran majlis pertunangan, perkahwinan dan resepsi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, arahan berkenaan berkuat kuasa Rabu sehingga 26 Januari atau sehingga PKPB ditamatkan.

“Arahan atau peraturan adalah tertakluk kepada ketetapan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Che Mohd Rahim berkata, semua kursus pra perkahwinan ditangguhkan dan khidmat nasihat atau runding cara hanya dijalankan melalui dalam talian.

Tambah Che Mohd Rahim, majlis akad nikah dibenarkan dilaksanakan di premis persendirian, masjid, atau surau tetapi wajib mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Hanya boleh dihadiri 20 orang termasuk seorang jurunikah, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali dan dua saksi,” katanya.

Pihaknya juga mengharapkan semua pihak dapat mematuhi arahan JAHEAIK melalui Bahagian Undang-Undang Keluarga untuk sama-sama mencegah penularan Covid-19 di Kelantan.

Untuk rekod kes terbaharu di Kelantan pada Rabu adalah 85 orang dengan pertambahan satu kluster baharu iaitu Kluster Bukit Bakar.

Artikel Berkaitan:

Jumlah kumulatif kes Covid-19 di Kelantan adalah sebanyak 1,564 dengan sembilan kematian.