UMNO, Bersatu boleh berdamai dalam tempoh darurat

Noor Nirwandy
Noor Nirwandy
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) dijangka memanfaatkan tempoh darurat yang diisytiharkan di negara ini untuk memperbaiki hubungan kerjasama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Penganalisis keselamatan dan politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, beliau melihat pemimpin parti dalam PN perlu mengambil peluang tersebut secara telus dan tidak berprasangka untuk mengukuhkan semula hubungan mereka.

Menurutnya, ia demi memastikan formula politik berasaskan kepada dominasi parti politik Melayu Islam terus menjadi tonggak gabungan perikatan politik, seterusnya mengekalkan kerajaan sedia ada bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kegagalan mencapai kerjasama akan mengakibatkan pada PRU15 nanti, ada pihak menggunakan kaedah kempen yang bercorak pembunuhan karakter dan propaganda melampau daripada kedua parti berkaitan, seterusnya merugikan dan merosakkan imej dominasi parti politik Melayu Islam,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Noor Nirwandy berkata, rekonsiliasi nasional amat penting bagi memastikan polisi dan hala tuju negara menjurus ke arah kepentingan masyarakat khususnya Melayu Islam berasaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Selasa lalu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia ke arah penyatuan tiga parti Melayu Islam yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini meskipun sedang berdepan pergolakan dalam kerjasama bersama UMNO.

Beliau berkata, Bersatu terlebih dahulu telah menjawab surat tawaran menyertai Muafakat Nasional (MN) menyatakan persediaan parti untuk bersama dalam MN.

"Surat tawaran itu ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Artikel Berkaitan:

"Bersatu telah bawa dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) dan kita juga dah jawab surat tentang persediaan kita untuk bersama dalam MN.

"Sekarang ini tunggu renspon daripada Ahmad Zahid, di pihak Pas tak ada masalah dan sepatutnya pada UMNO juga tidak ada masalah kerana surat menawarkan jemputan MN itu datangnya daripada Presiden UMNO sendiri,"katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panelis Wacana Sinar Siri 224 bertajuk 'PN: Kerjasama Sekerat Jalan?' di Studio F, Karangkraf pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pemimpin Perikatan Nasional (PN) perlu menghayati semangat langkah perpaduan yang ditonjolkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi mencapai kejayaan bersama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) kelak.