Polis cari pemilik akaun Facebook 'Respati'

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook menggunakan nama 'Respati' yang dipercayai memuat naik kenyataan jelik, berbaur penghinaan serta ugutan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan keberadaan pemilik akaun itu.

"Kertas siasatan juga akan dibuka, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ringkas ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau turut mengingatkan pengguna media sosial agar berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah individu mahupun sesebuah organisasi.

Respati dalam kenyataan di Facebook pada Selasa mencabar pihak Imigresen atau polis agar bertemu dengannya yang berada di Batu 13 Jeroco, dekat sini selain mengajak pemandu lori, treler melanggar anggota polis yang membuat sekatan jalan raya.

Pemilik akaun itu turut mengajak orang ramai membawa senjata tajam untuk berdepan dengan polis.

Kenyataan itu, yang tular pada Rabu, menerima lebih 313 perkongsian meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: