Kerajaan perlu segerakan inisiatif rangsangan fiskal

Sekatan jalan raya bagi memantau kenderaan yang melakukan rentas tanpa kebenaran. -Foto Bernama
Sekatan jalan raya bagi memantau kenderaan yang melakukan rentas tanpa kebenaran. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan harus segera melaksanakan segala inisiatif rangsangan fiskal yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 bagi membantu golongan penjaja dan peniaga kecil sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, bantuan itu perlu disalurkan lebih-lebih lagi sekiranya PKP disambung selama sebulan.“Penjaja dan peniaga kecil memang terjejas dari segi sumber pendapatan mereka sepanjang PKP ini, lebih-lebih lagi jika ia disambung menjadi sebulan apabila jangkitan Covid-19 tidak berjaya dilandaikan selepas dua minggu.

“Saya melihat penting bagi kerajaan mula menyalurkan segala peruntukan dalam Belanjawan 2021 yang bertujuan membantu penjaja dan peniaga kecil ini.

“Antara peruntukan ialah pembiayaan kredit mikro berjumlah RM1.2 billion untuk peniaga di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan institusi kewangan lain.

“Kemudahan Bantuan Perusahaan Kecil dan sederhana (PKS) Bersasar berjumlah RM2 bilion serta penangguhan atau pengurangan ansuran pinjaman untuk PKS yang mempunyai hutang kurang RM150,000 dan pelbagai lagi bantuan yang diumumkan sebelum ini dalam Belanjawan 2021,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau mengulas kesan PKP 2.0 kepada golongan peniaga kecil dan penjaja.

Ahmed Razman berkata, kerajaan juga mungkin boleh memikirkan bantuan secara one off bagi mengurangkan tekanan psikologi kepada golongan peniaga berpendapatan rendah.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat minggu untuk kurangkan kes, kata KP Kesihatan

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, PKP selama 14 hari yang dilaksanakan di enam negeri bermula Rabu dijangka menjejaskan pendapatan golongan penjaja dan peniaga kecil terlibat.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, meskipun PKP memberi kelonggaran kepada peniaga untuk berniaga namun jumlah pelanggan tidak ramai seperti biasa.

Medan selera di Bayan Baru, Pulau Pinang kelihatan kosong berikutan PKP 2.0 di enam negeri bermula Rabu sehingga 26 Januari ini ekoran peningkatan kes Covid-19. -Foto Bernama
Medan selera di Bayan Baru, Pulau Pinang kelihatan kosong berikutan PKP 2.0 di enam negeri bermula Rabu sehingga 26 Januari ini ekoran peningkatan kes Covid-19. -Foto Bernama

Beliau berkata, mahu atau tidak peniaga tetap menjalankan perniagaan walaupun dalam keadaan sukar.

“Sejak PKP pada Mac lalu, ramai peniaga kecil yang terkesan. Kami sangat berharap agar kerajaan memberi bantuan kepada golongan peniaga kecil pada PKP kali ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Rosli turut mencadangkan agar kerajaan memberikan bantuan kewangan kepada golongan penjaja kecil untuk dijadikan sebagai modal pusingan.

“Saya minta kerajaan beri bantuan one-off kepada peniaga lagi.Peniaga yang mempunyai lesen penjaja, berilah mereka RM1,000,” ujarnya.

Sementara itu, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan turut bersetuju agar bantuan kewangan diberikan kepada penjaja yang terkesan dengan PKP.

Setiausaha Agungnya, Shahrin Darus berkata, sumbangan itu nanti dapat membantu mereka untuk terus bertahan sepanjang PKP sehingga 26 Januari ini.

“Kita ada lebih kurang 15,000 ahli dalam seluruh Wilayah Persekutuan yang bernaung di bawah persatuan.

“Dalam dua minggu ini mereka terjejas. Kerajaan berilah RM2,000 atau RM3,000 untuk seorang peniaga,” katanya.