Perlukah NFC dihidupkan kembali?

Timbul persoalan adakah projek NFC dihidupkan kembali untuk menampung keperluan bekalan daging di Malaysia. - Gambar hiasan
Timbul persoalan adakah projek NFC dihidupkan kembali untuk menampung keperluan bekalan daging di Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

TAHUN 2020 telah kita tinggalkan dengan seribu satu pengalaman pahit, namun masih ada perkara yang menuntut jawapan dan penyelesaian demi kebaikan bersama rakyat Malaysia.

Isu paling panas penghujung tahun lalu sudah tentulah pembongkaran kartel daging haram yang menggemparkan rakyat negara ini.

Pembongkaran Sinar Harian mendedahkan kira-kira 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta yang dibungkus semula dengan kotak berlogo halal palsu berjaya dirampas dalam serbuan bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sebuah gudang di Senai, Johor.

Laporan itu turut mendapati daging sejuk beku tersebut dibawa masuk dari abatoir dan loji pemprosesan di negara yang tidak diiktiraf oleh Malaysia.

Sedih sekali apabila memikirkan kemungkinan rakyat telah termakan daging yang tidak halal dan lebih parah lagi bagaimana perkara seumpama itu boleh terjadi di sebuah negara yang majoritinya penduduknya beragama Islam?

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr Shamsul Azahari Zainal Badari, kegiatan kartel daging haram itu berlaku akibat sifat tamak segelintir pihak yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan kemudaratan terhadap pengguna.

“Bagi mereka, pengguna akan tetap membeli produk asalkan ada logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) walaupun logo tersebut palsu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sekiranya diperhalusi, satu sebab mengapa kartel durjana itu berjaya menjalankan taktik licik mereka di negara ini adalah kerana Malaysia tidak mempunyai hab pengeluaran daging halal sendiri.

Artikel Berkaitan:

Malaysia telah berusaha menjadi sebuah negara hab halal di peringkat antarabangsa sejak tahun 2010 menerusi beberapa inisiatif kerajaan antaranya bantuan dan kemahiran kepada pengusaha produk makanan halal terutamanya kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Namun hab pengeluaran daging halal tidak ada disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, kadar sara diri hasilan ternakan bagi daging untuk Malaysia adalah rendah.

“Data daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia pada tahun 2016 mendapati negara hanya mampu mengadakan bekalan daging sebanyak 22.44 peratus, manakala selebihnya perlu diimport daripada negara luar.

“Ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap daging melebihi penawaran yang disediakan,” ujar Shamsul Azahari lagi.

Muka hadapan Sinar Harian 2 Disember 2020 mengenai serbuan pihak berkuasa ke atas gudang kartel daging sejuk beku di Senai, Johor.
Muka hadapan Sinar Harian 2 Disember 2020 mengenai serbuan pihak berkuasa ke atas gudang kartel daging sejuk beku di Senai, Johor.

Keduanya, kos penternakan yang tinggi menyebabkan kebanyakan penternak terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk memastikan ternakan mereka berada dalam keadaan sihat.

Disebabkan kos yang tinggi ini, daging lembu tempatan terpaksa dijual dengan harga yang lebih mahal.

Seterusnya, proses mendapatkan pengesahan halal daripada pihak berautoriti adalah lama dan selain memerlukan kos yang tinggi.

“Masalah birokrasi juga memberi kesan kepada pengeluaran daging tempatan. Ini menyebabkan ada peniaga daging lebih suka mendapatkan sumber daging dari luar kerana tidak perlu melalui proses pengesahan yang merumitkan,” katanya lagi.

Tegas beliau, untuk menjadi hab pengeluaran daging halal sendiri, Malaysia perlu mengurangkan kos penternakan dengan menghasilkan produk makanan ternakan tempatan, meningkatkan penyelidikan dalam bidang penjagaan kesihatan haiwan ternakan, mempercepatkan proses pengeluaran pengesahan halal dan mengurangkan caj perkhidmatan serta birokrasi.

Penternak juga digalakkan bersatu di dalam mengusahakan penternakan mereka melalui pertubuhan koperasi dan gabungan.

Proaktif

Di sebalik kontroversi yang berlaku, timbul persoalan adakah perlu Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang ditubuhkan pada tahun 2006 bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan negara diwujudkan kembali bagi mengatasi masalah ini.

“NFC tidak perlu diwujudkan. Tetapi, agensi seperti Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Jakim perlu menjadikan isu ini sebagai alternatif untuk meningkatkan pengeluaran daging tempatan,” katanya lagi.

Sekiranya setiap agensi memainkan peranan dengan proaktif maka Malaysia berpeluang meningkatkan kadar sara diri hasil ternakan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan daging luar negara.

Menyoroti kembali sejarah NFC, ia gagal mencapai objektif penubuhan antaranya untuk menyediakan sebanyak 8,000 ekor lembu pada tahun 2010 selepas terpalit dengan pelbagai isu penyelewengan wang berjumlah RM250 juta.

Salahuddin
Salahuddin

Dalam pada itu, mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengalu-alukan sekiranya terdapat syarikat-syarikat besar sama ada dari dalam atau luar negara yang berminat mahu menghidupkan kembali NFC.

“Namun harus dipastikan syarikat-syarikat itu benar-benar cekap dan berkemampuan bagi memastikan objektif asal NFC menampung keperluan bekalan daging untuk pasaran tempatan dapat dicapai,” kata Salahuddin kepada Sinar Harian.Namun sekiranya tidak diwujudkan kembali NFC maka kerajaan perlu membantu misalnya dengan memberi pelbagai insentif kepada mana-mana syarikat-syarikat baru dalam usaha untuk terus meningkatkan Self Sufficient Level (SSL).

Memegang portfolio Menteri Pertanian bermula Mei 2018 hingga Februari 2019, Salahuddin berkata, beliau sempat menjenamakan kembali Program Lembu Pawah kepada Program Rezeki Ternak apabila usahawan ternak dibekalkan dengan 10 ekor lembu dengan objektif meningkatkan pengeluaran daging tempatan.

“Saya rasa program tersebut perancangan paling praktikal untuk kita cuba melonjakkan bekalan daging tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan perlu memperkukuhkan industri daging tempatan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap daging import.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menegaskan, kesilapan yang telah berlaku dalam NFC yang akhirnya menjadikan projek itu ibarat projek gajah putih haruslah dijadikan pengajaran.

“Pada saya, memang seharusnya industri daging tempatan ditambah dan diperkukuh, jaringan kartel daging haram ini juga harus dihapuskan sepenuhnya dan kesilapan NFC itu sendiri tidak diulangi,” kata Fahmi.


INFO


Import daging lembu dan kambing di Malaysia

Makanan Jan-April 2019 Jan-April 2020 Negara pengeksport utama

Kuantiti Nilai import Kuantiti Nilai import

(tan metrik) (RM juta) (tan metrik) (RM juta)

Daging lembu 52,485.8 634.2 60,937.8 801.6 India

Daging kambing 12,346.9 260 18,992.4 445 Australia

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Statistik import daging lembu dan kambing di Malaysia

Makanan Jan-April 2019 Jan-April 2020

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Kuantiti Nilai import

(tan metrik) (RM juta)