X

Kindly register in order to view this article
!

Prinsip umum muamalat maliyyah

A
A

ADA orang bertanya, ada atau tidak diceritakan secara terperinci tentang jual beli, pelaburan saham dan sebagainya dalam al-Quran dan hadis.Sebelum saya terangkan lebih lanjut, saya ingin jelaskan secara ringkas apa itu muamalat maliyyah. Muamalat secara umumnya merujuk kepada hukum hakam atau peraturan yang berkaitan urusan manusia sesama manusia sama ada dalam aspek kewangan, ekonomi atau sosial.

Oleh itu, ia merangkumi isu antaranya hal ehwal kekeluargaan, jenayah, hubungan antarabangsa dan lain-lain lagi. Namun apabila disebut muamalat maliyyah atau fiqh muamalat, ia khusus kepada hukum atau peraturan yang berkaitan urusan manusia sesama manusia dalam konteks pemilikan harta sama ada melalui pelbagai kontrak seperti jual beli, sewaan, perkongsian, pelaburan dan seumpamanya.

Antara ciri khusus muamalat maliyyah yang menjadikannya berbeza dengan fiqh ibadah ialah muamalat maliyyah ini berasaskan kepada kaedah dan prinsip umum. Maksudnya di sini, pensyariatan hukum hakam muamalat ini tidak didatangkan dalam bentuk yang terperinci baik dalam al-Quran ataupun hadis Rasulullah SAW. Sebaliknya, hanya prinsip dan kaedah umum sahaja yang diberikan sebagai panduan.

Antara prinsip umum dalam bermuamalat yang dinyatakan dalam al-Quran ialah pemilikan sesuatu harta itu hendaklah berasaskan kepada prinsip al-taradhi iaitu secara suka sama suka atau wujud persetujuan bersama antara kedua-dua pihak.

Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam firman ALLAH dalam Surah al-Nisa’, ayat 29 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH sentiasa Mengasihani kamu.”

Oleh itu, apabila kita ingin memiliki harta orang lain, ia hendaklah dilakukan dengan cara suka sama suka sama ada menggunakan kontrak jual beli, hibah dan sebagainya.

Prinsip umum lain yang dijelaskan dalam al-Quran ialah halalnya jual beli dan haramnya riba sebagaimana dalam firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud: Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal ALLAH telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”Dalam ayat ini hanya menerangkan jual beli dengan segala jenisnya adalah halal tanpa menerangkan secara terperinci bentuk jual beli berkenaan dan riba dengan segala jenisnya adalah haram tanpa diperincikan bentuknya.

Antara prinsip umum lain dalam bab muamalat ini ialah pengharaman gharar (ketidakpastian). Larangan ini dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud: “Rasulullah SAW melarang jual beli hasah (tikam menggunakan batu) dan jual beli gharar (jual beli yang ada unsur ketidakpastian).” (Riwayat Muslim)

Hukum hakam muamalat tidak diperincikan baik dalam al-Quran atau hadis tetapi hanya diberi panduan dan prinsip umum sahaja kerana urusan muamalat ini berubah mengikut keperluan tempat dan zaman tertentu. Contohnya, dahulu tiada internet dan tiada urusan secara dalam talian tetapi sekarang banyak urusan jual beli dilakukan secara dalam talian.

Bentuk jual beli dan sebagainya sentiasa berubah mengikut keperluan pada setiap zaman dan tempat.Ini bermakna setiap inovasi baru dalam muamalat tidak dilarang tetapi mesti berteraskan kepada kaedah dan prinsip umum yang telah ditetapkan. Oleh itu, perincian kepada hukum hakam muamalat pada setiap zaman dan tempat diserahkan kepada ulama untuk berijtihad.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!