Tiga hari 'berlembut' sebelum penguatkuasaan PKP diperketat

Ayob Khan meninjau operasi SJR yang dijalankan pada hari pertama PKP di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Skudai, Johor Bahru pada Rabu.
Ayob Khan meninjau operasi SJR yang dijalankan pada hari pertama PKP di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Skudai, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 46 lokasi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri diadakan ketika ini sempena pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu akan ditambah lagi sebanyak lima lokasi lain dalam waktu terdekat.

"Ketika ini, seramai 204 pegawai dan anggota polis akan terlibat dalam penugasan di kesemua SJR terlibat dengan dibantu seramai 35 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

ARTIKEL BERKAITAN: PKP 2.0 libatkan enam negeri mulai 13 Januari

"Selain itu bermula esok (Khamis), seramai 351 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Briged Tujuh Infantri Malaysia akan menyertai operasi penguatkuasaan di kesemua SJR seluruh Johor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi SJR di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Skudai, di sini pada Rabu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengumumkan enam buah negeri akan dikenakan PKP selama dua minggu bermula Rabu dan Johor merupakan antara negeri yang terlibat.

Ayob Khan berkata, pihaknya memberi tempoh selama tiga hari kepada masyarakat negeri ini untuk membiasakan diri dengan pelaksanaan semula PKP sebelum penguatkuasaan tegas mula dibuat pada hari berikutnya.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, dalam tempoh itu pihaknya akan mengutamakan pendekatan mendidik dan memberi amaran, selain turut bertolak ansur.

Jelasnya, perkara berkenaan bagi membolehkan masyarakat memahami dan mematuhi undang-undang ditetapkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dikuatkuasakan kerajaan.

"Dalam tempoh tiga hari pertama ini, kita akan berlembut tetapi selepas itu, kita akan perketatkan penguatkuasaan dengan mengambil tindakan tegas.

"Jadi saya menasihati masyarakat agar mematuhi setiap peraturan dan undang-undang mengikut SOP PKP ketika ini," katanya dan memberitahu menerusi pemerhatiannya pada hari pertama PKP mendapati pematuhan masyarakat Johor berada pada tahap antara 97 hingga 98 peratus.