Rakyat Malaysia di Washington diminta elak kawasan protes

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga Malaysia di Washington DC dan kawasan sekitarnya diingatkan sentiasa berwaspada, menghindari kawasan protes dan mematuhi garis panduan serta arahan keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan berikutan kebimbangan keselamatan di ibu negara Amerika Syarikat (AS) itu.

Kedutaan Malaysia di AS berkata, perlu untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia selaras dengan garis panduan dikeluarkan pihak berkuasa di Washington DC.

“Setakat ini, Kedutaan Malaysia belum menerima laporan dari warga Malaysia mengenai masalah (keselamatan).

"Namun demikian, Kedutaan di Washington DC serta pejabat Ketua Konsulat di New York dan Los Angeles akan terus memantau perkembangan dan menasihati rakyat Malaysia, termasuk pelajar dari masa ke masa," kata kedutaan itu kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp.

Kedutaan mengatakan ini sebagai tindak balas terhadap laporan media mengenai tunjuk perasaan yang dirancang di semua 50 ibu negeri AS menjelang pelantikan rasmi Joe Biden sebagai Presiden pada 20 Januari.

Kedutaan bagaimanapun berkata, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyatakan kebanyakan berita berkenaan hanyalah spekulasi dan pihak berkuasa AS telah meningkatkan langkah keselamatan demi keselamatan orang ramai.

"Secara keseluruhan, keadaan keselamatan di Washington DC dan Amerika Syarikat pada umumnya terkawal.

"Darurat telah dipersetujui Presiden Amerika Syarikat (Donald Trump) dengan perintah Datuk Bandar Washington DC untuk meminta bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan sokongan agensi persekutuan, Washington DC akan dapat membuat persiapan lebih baik untuk perasmian bakal Presiden Joseph Biden pada 20 Januari 2021," tambah kenyataan itu.

Tindakan sekumpulan penyokong Trump yang menyerbu bangunan Capitol pada 6 Januari mendapat liputan meluas.

Kumpulan itu dilaporkan bertempur dengan polis dan merosakkan harta benda. Ia berlaku setelah Trump mendesak penyokongnya membantah memprotes pengesahan keputusan pilhan raya oleh Kongres. Trump mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya.

Menurut kedutaan, sehingga kini, pihaknya belum menerima laporan mengenai pelajar Malaysia yang mengalami kesukaran mendapatkan makanan atau keperluan asas.

Jabatan Hal Ehwal Pelajar di Kedutaan juga berhubung dengan para pelajar dan akan menghubungi mereka untuk membantu sekiranya diperlukan, tambah kenyataan itu.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular dari Kedutaan atau pejabat Ketua Konsulat boleh menghubungi melalui e-mel: mwwashington@kln.gov.my/ consularwdc@kln.gov.my atau menghubungi talian: + 1- 202-572-9700.

Maklumat Konsulat Malaysia di AS adalah seperti berikut:

Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles Telefon: +1.213.892.1238, E-mel: mwlosangeles@kln.gov.my; dan Konsulat Jeneral Malaysia di New York Telefon: +1 (212) 490 2723, E-mel: mwnewyork@kln.gov.my.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 25 kes keganasan dibuka akibat serangan di Capitol

Trump enggan bertanggungjawab kejadian rusuhan