Usul bubar BN: MCA sedia mesyuarat bila-bila masa

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

KUALA LUMPUR - MCA menolak dakwaan Pemangku Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengatakan mesyuarat majlis tertinggi gabungan parti tersebut tidak diadakan kerana MCA dan MIC bimbang menerima tekanan daripada media berhubung usul pembubaran BN.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, bukan itu punca tiadanya mesyuarat diadakan malah beliau mengalu-alukan majlis tertinggi BN bermesyuarat secepat mungkin.

“Esok, lusa atau minggu depan, wakil MCA akan membentangkan usul pembubaran BN dalam mesyuarat itu,” katanya seperti dilaporkan portal Malaysiakini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'MCA, MIC elak adakan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi BN'

Mohamad semalam dalam program Bicara Minda bersama Sinar Harian mendedahkan, MCA dan MIC seolah-olah mengelak untuk mengadakan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi BN.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, perwakilan pusat MCA meluluskan usul jawatankuasa parti menggesa pembubaran BN pada 2 Disember lepas dan sepuluh hari kemudian, jawatankuasa pusat menghantar surat rasmi kepada sekretariat BN untuk mengadakan mesyuarat majlis tertinggi.

Tambah Ka Siong, MCA menerima notis daripada pejabat BN pada 4 Januari memberitahu mesyuarat akan diadakan sebelum 7 Januari 2019.

“Pada hari sama kita terima notis, jawatankuasa pusat MCA mengadakan mesyuarat.

Artikel Berkaitan:

“Jawatankuasa sebulat suara setuju bahawa presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung akan membentangkan usul perwakilan pusat (berhubung) pembubaran dalam mesyuarat itu," katanya lagi.

Tambahnya lagi, pada hari sama MCA diberitahu melalui WhatsApp bahawa mesyuarat itu ditangguhkan kepada 10 Januari dan selepas itu sekretariat BN memberitahu MCA bahawa ia ditangguhkan kepada tempoh yang belum ditetapkan.

“Sekretariat BN juga mengundangnya untuk hadir ke sidang media pengumuman calon BN bagi PRK Cameron Highlands pada 10 Januari.

“Mohamad juga hubungi saya untuk beritahu beliau sudah terima surat rasmi MCA berhubung pembubaran BN dan meminta saya berjumpanya keesokannya,” katanya.

Jelasnya, beliau dan Mohamad bertemu secara tidak rasmi dan membincangkan dua perkara iaitu pembubaran BN dan PRK Cameron Highlands.

“Saya beritahunya tentang keputusan perwakilan pusat MCA dan kata saya sedia mendengar pandangan Umno dan MIC. Mohamad menegaskan 'mesyuarat yang betul' perlu dibuat, bermakna mesyuarat majlis tertinggi BN, untuk membincangkannya," katanya lagi.

Ka Siong juga berkata beliau beberapa kali memberitahu Presiden MIC, SA Vigneswaran, sekiranya mesyuarat itu diadakan, MCA akan membentangkan usul tersebut (pembubaran BN).

“MCA tidak pernah membantah untuk mengadakan mesyuarat itu atau pun membatalkan hasrat untuk membincangkan usul itu. Maka MCA tidak boleh disalahkan dalam soal tiadanya mesyuarat majlis tertinggi BN,” tegas beliau.