Tiada pembelian panik di Pahang

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pahang melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis perniagaan utama di negeri ini bagi memastikan barang keperluan sentiasa mencukupi.
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pahang melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis perniagaan utama di negeri ini bagi memastikan barang keperluan sentiasa mencukupi.
A
A
A

KUANTAN -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pahang mengesahkan tiada situasi pembelian panik berlaku di negeri ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa pada Rabu.

Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, pihaknya mengambil maklum isu itu sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini dan hasil pemantauan harian ke atas premis-premis perniagaan utama di negeri ini mendapati keadaan itu tidak berlaku.

Bagaimanapun, katanya, berlaku pembelian dalam kuantiti yang besar oleh badan bukan kerajaan (NGO) bagi bekalan bantuan mangsa banjir di seluruh Pahang.

"KPDNHEP Pahang telah melantik lebih 300 premis di seluruh negeri Pahang untuk memantau isu itu dan kesemua premis terlibat akan dipantau setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa ada dan mencukupi," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Mark berkata, KPDNHEP Pahang juga telah melaksanakan Ops Catut 8.0 (Operasi Pakaian Sekolah) bermula 23 Disember 2020 hingga 7 Mac depan.

Katanya, operasi itu dijalankan bertujuan memantau dan memastikan setiap peniaga tidak menaikkan harga kelengkapan sekolah sewenang-wenangnya dan mematuhi perundangan Peraturan-peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

"Sehingga kini, 30 premis perniagaan peringkat peruncit telah diperiksa melibatkan 10 barangan kelengkapan sekolah," katanya.

Tambah beliau, KPDNHEP Pahang juga komited dalam memastikan barangan keperluan asas pengguna berada dalam keadaan mencukupi dan pelbagai usaha telah dilaksanakan demi menjaga hak-hak pengguna di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Susulan pelaksanaan PKPB di Negeri Pahang, kita telah bertindak meningkatkan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan utama di negeri ini.

"Ia bagi memastikan barangan keperluan asas pengguna sentiasa mencukupi dan tiada manipulasi harga oleh para peniaga yang tidak beretika ketika pengguna di negeri ini berdepan bencana banjir.

"Seramai 142 anggota penguat kuasa daripada lima cawangan digerakkan bagi memantau premis-premis perniagaan utama yang menjadi tumpuan pengguna," katanya.

Beliau berkata, pemantauan dan pemeriksaan juga dilakukan di peringkat pemborong dan pengeluar bagi memastikan kesinambungan rantaian bekalan barangan keperluan asas pengguna.

"Untuk rekod, bermula dari awal tahun 2020 sehingga kini, KPDNHEP Pahang telah melaksanakan 38,571 pemeriksaan ke atas semua peringkat perniagaan di seluruh negeri Pahang.

"Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 645 kes telah direkodkan dengan nilai kompaun RM296,850 dan nilai denda mahkamah RM66,500 manakala nilai rampasan keseluruhan RM1.09 juta," katanya.