X

Kindly register in order to view this article
!

Guan Eng gesa penggantungan Parlimen, DUN dibatalkan

Kenyataan akhbar Lim Guan Eng pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membatalkan penggantungan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilakukan melalui perisytiharan darurat pada Selasa.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, langkah tersebut penting bagi membolehkan ahli Parlimen membangkitkan kelemahan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika berlakunya pandemik Covid-19.

“Bagaimana perisytiharan darurat dapat mengatasi kelemahan yang nyata daripada kerajaan PN apabila Parlimen ditangguhkan?

“Bagaimanakah masalah dalam salah urus, penyalahgunaan kuasa dan penderitaan rakyat dapat dibangkitkan oleh ahli Parlimen tanpa mesyuarat Parlimen? Bagaimanakah kegagalan menteri dalam menjalankan tugas mereka dengan baik dapat diserlahkan.

“Sekiranya cabang eksekutif dan kehakiman dalam kerajaan dapat berfungsi dengan normal, mengapa tidak cabang perundangan (legislatif) yang merupakan peringkat tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan?" katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa telah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Susulan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, perisyitharan darurat itu hanya menghentikan perlaksanaan proses perundangan Dewan Rakyat.

Katanya, penggantungan sesi Parlimen bukan bermakna Parlimen dibubarkan dan kedudukan kedudukan dan tanggungjawab semua ahli Parlimen sebagai wakil rakyat tetap sama seperti sedia kala dan berterusan.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kerajaan PN dilihat menggunakan perintah darurat untuk terus berkuasa meskipun ia dilihat gagal untuk memberikan penyelesaian yang jelas terhadap cabaran yang dihadapi rakyat dan negara dalam krisis pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kegagalan mengumumkan bantuan kewangan segera yang diikuti dengan perisytiharan darurat membuktikan Muhyiddin tidak memberikan fokus untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan pendapatan rakyat.

"Kadar pengangguran meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 4.8 peratus pada bulan November 2020 sebagai hasil daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan ketika itu.

"Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kesatuan sekerja dan kumpulan majikan telah memberi amaran terhadap lebih banyak penutupan perniagaan dan pemberhentian pekerja untuk pusingan terbaharu PKP dan darurat.

"Industri pelancongan yang kehilangan pendapatan RM100 bilion tahun lalu memerlukan sokongan kewangan segera," katanya.

Jelasnya, kerajaan juga masih gagal memenuhi janjinya untuk memberikan moratorium secara automatik, pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kenaikan bantuan kebajikan bulanan RM1,000 kepada rakyat termasuk penganggur semasa tempoh pandemik Covid-19.

Pada masa sama, Guan Eng turut menyatakan kegusarannya terhadap kelewatan kerajaan dalam usaha mendapatkan vaksin berbanding negara lain seperti Singapura yang telah menerima bekalan pertama dua bulan lebih awal Malaysia.

Selain itu, beliau juga menyuarakan kegusarannya terhadap kerajaan yang dilihat masih lemah dalam pelaksanaan saringan, pengesanan dan rawatan atau 3T (test, trace, treat) secara menyeluruh untuk melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat.

"Walaupun Dana Covid-19 dikurangkan daripada RM38 bilion pada tahun 2020 kepada RM17 bilion, jumlah RM17 bilion masih merupakan jumlah yang boleh digunakan untuk meningkatkan sistem penyampaian kesihatan kita berdasarkan 3T.

"Malangnya, dana tersebut nampaknya tidak dapat disediakan bagi menyokong wira barisan hadapan kita sama ada untuk mengambil lebih ramai pekerja kesihatan atau membeli vaksin," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengulangi dakwaanya yang mengatakan bahawa Muhyiddin telah kehilangan keabsahan moral dan politik sebagai Perdana Menteri ekoran penarikan semula sokongan tiga ahli Parlimen daripada UMNO.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!