X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir: PGA rampas pelbagai barangan seludup RM4.2 juta

Azhari (tengah) bersama wakil dari KPDNHEP dan PPM Wilayah Tiga menunjukkan sebahagian daripada minyak petrol yang dirampas hasil operasi bersepadu PGA Batalion 7 Kuantan.
A
A

RANTAU PANJANG - Rampasan pelbagai barangan seludup berjumlah RM4.2 juta membuktikan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan serius mengekang aktiviti tersebut walaupun terpaksa berdepan gelombang banjir.

Sepanjang 29 hari penugasan di sempadan Malaysia-Thailand yang bermula 16 Disember lalu, anggota PGA terpaksa berdepan dua kali bencana banjir.

Sepanjang tempoh itu juga, beberapa buah pos kawalan PGA di Rantau Panjang hingga ke Pengkalan Kubor (Tumpat) turut ditenggelami air.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, kejayaan tersebut turut dipacu oleh PGA Batalion 9 Kuala Terengganu yang turut melaksanakan penugasan di Op Benteng Covid-19.

"Sepanjang tempoh itu sebanyak 77 kes penyeludupan dan dadah berjaya dipatahkan membabitkan 67 tangkapan keatas individu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol pada Rabu.

Menurutnya, kejayaan rampasan barangan seludup itu melibatkan haiwan ternakan, kontraban, kosmetik, ayam beku, pakaian, subsidi dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, selain itu rampasan ketum dan dadah turut dilakukan oleh PGA.

Azhari berkata, pada Selasa PGA telah mematahkan sindiket penyeludupan petrol dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang di sini.

Katanya, kejayaan itu hasil kerjasama PGA bersama Kemententerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

"Serbuan pertama pada jam 5 petang, kami telah merampas 625 liter petrol dan menahan seorang suspek berusia 35 tahun. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkait dadah.

"Selang 15 minit kemudian, kami menahan sebuah kereta jenis Proton Saga di Kampung Kubang Rambutan kerana disyaki digunakan untuk menyeludup," katanya.

Azhari berkata, bagaimanapun sebelum itu, PGA dan KPDNHEP Kelantan serta PPM Wilayah Tiga telah mengekori kenderaan tersebut.

Katanya, sejurus menyedari kegiatan itu dihidu anggota penguatkuasa kenderaan tersebut telah memecut laju sehingga hilang kawalan dan melanggar pagar rumah penduduk.

"Pemeriksaan keatas kenderaan telah menemui 625 liter petrol dan pemandu kenderaan yang cedera telah dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut.

"Suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait Seksyen 26 A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 7 (1) (a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!