Marahkan isteri, lelaki bakar rumah pusaka keluarga

Suspek berusia 43 tahun itu ditahan polis selepas menerima dua laporan daripada dua ahli keluarganya. - Gambar kecil: A Asmadi
Suspek berusia 43 tahun itu ditahan polis selepas menerima dua laporan daripada dua ahli keluarganya. - Gambar kecil: A Asmadi
A
A
A

IPOH - Berang tidak diberikan duit, seorang lelaki disyaki bertindak membakar rumah pusaka keluarganya di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi di sini pada Isnin.

Kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu mengakibatkan rumah terbabit musnah dan merosakkan dua kereta masing-masing Honda CRV dan Perodua Viva serta tiga motosikal.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan polis selepas menerima dua laporan daripada dua ahli keluarganya.

"Isteri suspek memberitahu mereka mereka bergaduh dan suaminya telah mengugut untuk membakar kesemuanya jika tidak memberi wang yang diminta. Isteri suspek telah mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh suaminya.

"Selain itu, maklumat diberikan abang kandung suspek bahawa adiknya itu ada mengaku telah membakar unggun api dan berdekatan motosikal di halaman rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat dua rumah berhampiran kediaman berkenaan iaitu bahagian hadapan merupakan rumah pusaka dan di belakang pula rumah didiami abang suspek.

Bagaimanapun katanya, kebakaran rumah abang suspek hanya melibatkan satu peratus sahaja.

"Bahagian Forensik Bomba telah mengambil sampel untuk dianalisis punca kebakaran.

Artikel Berkaitan:

“Polis juga cuba mendapatkan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan kejiranan di situ untuk membantu siasatan," katanya.

A Asmadi memberitahu, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau namun isterinya memaklumkan bahawa suspek seorang penagih dadah," katanya.