MB Negeri Sembilan menghadap Tuanku Muhriz isu darurat

Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, Seremban pada Rabu.
Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berhubung Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos depan menimbulkan pelbagai pendapat dan pertikaian khususnya mereka yang terlibat dalam bidang perundangan.

"Kita akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk maklumkan perkara ini dan melihat apakah kesannya apabila darurat diumumkan di peringkat Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong perkenan isytihar darurat sehingga 1 Ogos

"Walaupun adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan ini, tapi ia timbul persoalan bagaimana pelaksanaannya dan bagaimana ia boleh dilaksanakan. Adakah ia bertepatan dengan darurat itu sendiri.

"Jadi kita tunggulah lagi pandangan lain," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Aminuddin bagaimanapun berkata, beliau menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong itu dan akan memastikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan berjalan seperti biasa sepanjang tempoh darurat.

Menurutnya, kerajaan negeri terkejut berhubung perkara itu kerana tidak dimaklumkan lebih awal sedangkan politik di Negeri Sembilan berada dalam keadaan stabil.

Artikel Berkaitan:

"Politik di Negeri Sembilan dalam keadaan stabil dan aman tapi tidak dapat jalankan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sentiasa membincangkan mengenai pembangunan negeri.

"Begitu juga dengan pembangkang yang sentiasa beri pandangan dan berfungsi sebagai semak dan imbang dalam kerajaan. Ini jadi satu masalah dan kita pun tidak tahu apa matlamat pengisytiharan darurat itu," katanya.