Kerajaan Pahang digesa ambil kira ulasan JAS isu PDF, WLP Lynas

Dari kiri; Saifulzaman, Zuraidi, Chean Chung, Bun Teet dan Chun Kuang menujukkan ulasan JAS Pahang mengenai pemilihan Bukit Ketam sebagai lokasi PDF, WLP kilang Lynas pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Komuniti DUN itu di Jalan Haji Ahmad, Kuantan pada Rabu.
Dari kiri; Saifulzaman, Zuraidi, Chean Chung, Bun Teet dan Chun Kuang menujukkan ulasan JAS Pahang mengenai pemilihan Bukit Ketam sebagai lokasi PDF, WLP kilang Lynas pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Komuniti DUN itu di Jalan Haji Ahmad, Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Kegagalan kerajaan negeri Pahang menjawab ulasan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengenai pemilihan Bukit Ketam sebagai lokasi tapak kemudahan pelupusan kekal (PDF) sisa penulenan air larut lesap (WLP) kilang nadir bumi Lynas Corporation, mengecewakan banyak pihak.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berkata, semakan pihaknya mendapati terdapat ulasan yang dikemukakan JAS Pahang mengenai pemilihan lokasi itu, yang dikeluarkan pada 4 Mei tahun lalu.

"Kawasan yang diluluskan digambarkan berada di tapak terpencil di kawasan Bukit Ketam, di sini. Ia berdekatan Hutan Simpan Bukit Kuantan. Kerajaan Pahang sepatutnya mengambil kira ulasan ini.

"Ulasan JAS Pahang turut menyebut, tapak yang dipohon Lynas ialah di bawah bidang Lembaga Perlesenan Atom (LPTA). Berdasarkan Semakan Maklumat Geografi (GIS), JAS mendapati terdapat Sungai Ara yang melalui projek itu dan akan mengalir ke Sungai Riau dan Sungai Kuantan.

"Sungai Kuantan pula merupakan sumber air untuk Loji Rawatan Air Semambu. Loji ini melibatkan 781,100 akaun pengguna dan projek ini berisiko menjejaskan kualiti sumber air semasa peringkat kerja tanah, pembinaan dan operasi," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Komuniti DUN itu di Jalan Haji Ahmad, di sini pada Rabu

Justeru, katanya, ulasan itu perlu diambil kira dalam pemilihan kesesuaian tapak agar tidak menimbulkan pencemaran, risiko kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat.

Hadir sama, Penyelaras Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Indera Mahkota, Zuraidi Ismail dan Penyelaras PKR DUN Semambu, Chan Chun Kuang serta Saifulzaman Mahmud.

Chean Chung berkata, ulasan JAS perlu diambil kira oleh kerajaan Pahang termasuk cadangan pembangunan yang mesti tertakluk kepada Jadual Kedua, Aktiviti 14, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 dan perlu menyediakan Laporan EIA.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peguam Tan Bun Teet yang juga Pengerusi Save Malaysia, Stop Lynas berkata, Bukit Kuantan pula merupakan kawasan yang digazetkan sebagai hutan simpan.

"Jika kawasan itu dibina PDF WLP, adakah jaminan bahawa tidak berlaku kebocoran atau resapan di dalam tanah yang seterusnya mengalir ke sungai?

"Jika 781,100 akaun pengguna air Loji Rawatan Semambu mempunyai sekurang-kurangnya dua ahli keluarga, bukankah pencemaran ini akan menjejaskan kesihatan lebih sejuta rakyat?," soalnya.