X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga cakoi mengaku salah miliki pistol, peluru tanpa kebenaran

Peng Han didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ampang pada Rabu atas tuduhan berkaitan senjata dan dadah.
A
A

AMPANG - Seorang peniaga kuih cakoi mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan memiliki pistol, peluru dan parang, dua minggu lalu.

Kow Peng Han, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 27 Januari ini untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 10 peluru jenis 9mm Luger PMC dan pistol SIG Sauer P224, tanpa kebenaran yang sah.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Simpang Jalan Perdana 2/3A, Pandan Perdana, di sini pada jam 10.45 pagi, 1 Januari lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia yang hadir di mahkamah dengan memakai baju biru, didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki parang 27 inci tanpa kebenaran yang sah di lokasi, masa dan tarikh sama, dituduh mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Api 1958 yang memperuntukkan hukuman tidak kurang lima dan tidak lebih 10 tahun.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh juga didakwa atas tiga lagi pertuduhan memiliki dan mengedar dadah merbahaya di sebuah pangsapuri di Pandan Perdana, pada jam 9 pagi, tarikh sama.

Bagi pertuduhan mengedar dadah methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (ekstasi) dengan berat anggaran 225.8 gram, dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang 15 sebatan, jika tidak dihukum dengan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan memiliki dadah berbahaya iaitu MDMA dan methamphetamine (syabu), masing-masing anggaran berat 5.5 dan 3.6 gram, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama dan boleh dihukum masing-masing mengikut Seksyen 39A (1) serta Seksyen 12(3) akta sama.

Bagi Seksyen 12(2), ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan rotan tiga hingga sembilan sebatan atau kedua-duanya manakala Seksyen 12(3) memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana mahkamah menunggu laporan kimia.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad.

Majistret Farah Nasihah Annuar menetapkan 25 Mac depan untuk sebutan semula kes termasuk serahan laporan kimia.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!