Polis rampas dadah bernilai RM4.3 juta

Saiful Azly (tiga dari kanan) menunjukkan hasil rampasan dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu.
Saiful Azly (tiga dari kanan) menunjukkan hasil rampasan dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.3 juta selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan berasingan di Kepong dan Seri Kembangan di sini pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 24 tahun itu di Jalan Metro Perdana Kepong pada jam 4.30 petang, Jumaat.

"Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap suspek membawa kepada rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 1,030 gram, 1,115 biji pil erimin 5, ecstasy seberat 192 gram, wang tunai RM400 dan menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu.

Saiful Azly berkata, hasil soal siasat, pihaknya telah menahan dua lelaki berusia 20 tahun di Jalan Indah, Seri Kembangan pada jam 7.45 petang Sabtu.

"Pada tarikh sama, kita telah menyerbu sebuah residensi di Seri Kembangan pada jam 8 malam dan berjaya merampas 100 batang rokok ganja, wang tunai RM53,800 dan menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Estima," katanya.

Mengulas lanjut, Saiful Azly berkata, ketiga-tiga suspek itu dipercayai aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu.

"Semua dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 195,480 pengguna," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kesemua suspek negatif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Semakan juga mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mereka direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.