Persatuan Ulama Malaysia sokong proklamasi darurat

Al Syeikh Abdul Halim
Al Syeikh Abdul Halim
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyokong pengisytiharan darurat yang menjadi salah satu usaha kerajaan bagi membendung penyebaran Covid-19 di dalam negara.

Yang Dipertua PUM, Datuk Al Syeikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, pihaknya mengikuti perkembangan proklamasi darurat yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa.

Menurutnya, tindakan tersebut (isytihar darurat) amat wajar sebelum keadaan menjadi lebih parah dan tidak terkawal.

"PUM mengucapkan syabas di atas tindakan kerajaan yang memandang serius peningkatan kes Covid-19 setiap hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Proklamasi darurat beri kuasa kepada kerajaan

Proklamasi darurat solusi terbaik akhiri drama politik?

Proklamasi darurat bukan rampasan kuasa tentera

"Keprihatinan pihak kerajaan dengan menunjukkan sikap berani untuk menangani virus ini adalah sesuatu yang memang diperlukan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya percaya tindakan dilaksanakan adalah untuk kepentingan rakyat dan menjadi tanggungjawab kerajaan mengambil tindakan sewajarnya supaya rakyat tidak menjadi mangsa pandemik yang melanda dunia.

Katanya, walaupun keputusan itu sukar bagi sesetengah pihak, namun semua tidak mempunyai banyak pilihan.

"Awlawiyat atau keutamaan kerajaan sekarang adalah memastikan keadaan tidak bertambah parah dan memastikan rakyat selamat.

"Ketika kita dikhabarkan dengan adanya vaksin serta komitmen kerajaan untuk mendapatkan vaksin tersebut, langkah pencegahan mesti dilakukan terlebih dahulu bagi mengawal keadaan sehinggalah terdapatnya bukti menunjukkan berlaku penurunan ketara jangkitan covid-19," katanya.

Tambah Al Syeikh Abdul Halim, PUM menyanjung tinggi titah Tuanku dan mengucapkan syabas di atas keprihatinan kerajaan untuk mengutamakan kemaslahatan rakyat terutama dalam menjaga nyawa rakyat daripada terdedah kepada ancaman bahaya.

Katanya, semua pihak tidak boleh berdalih lagi dalam usaha memutuskan rangkaian covid-19.

"Kami melihat inilah yang diajarkan oleh agama Islam apabila berdepan dengan sesuatu perkara seumpama ini, iaitu al-Wiqayah Khairun min al-‘Ilaj, bermaksud mencegah lebih baik dari mengubati.

"Ada juga beberapa kaedah Fiqh yang sememangnya menjelaskan tindakan yang boleh diambil antaranya, Dar’ul Mafasid muqaddam min Jalbul Masalih, bermaksud menghilangkan sesuatu keburukan lebih diutamakan daripada menjalankan sesuatu kebaikan.

"Teruskan solat hajat dan berdoa semoga ALLAH SWT memudahkan urusan Tuanku, pemimpin dan kita semua," katanya.