X

Kindly register in order to view this article
!

Tanah runtuh: Nenek 63 tahun selamatkan empat cucu

Kejadian tanah susur di belakang rumah Nona Budis di Kampung Garung, Kilometer 40 Jalan Puncak Borneo malam tadi. - Foto Bernama
A
A

PADAWAN - Seorang nenek berusia 63 tahun bersama anak perempuannya bertindak pantas membawa keluar empat cucunya apabila sebahagian rumah mereka di Kampung Garung, Kilometer 40 Jalan Puncak Borneo ditimbus tanah runtuh malam tadi.

Nona Budis berkata, kejadian tanah susur di belakang rumahnya itu berlaku pada jam 8.30 malam ketika beliau sedang menonton televisyen di ruang tamu, manakala cucu dan anak perempuannya berada di dapur rumah berkenaan.

"Tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat, diikuti runtuhan dinding rumah kami dan tanah memasuki ke dalam ruang tamu rumah.

"Mujurlah ketika itu anak dan cucu-cucu saya tidak berada dekat dengan televisyen seperti kebiasaannya," katanya ketika ditemui di rumahnya itu pada Rabu.

Hadir untuk melawat dan meninjau tempat kejadian ialah Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Menurut Nona, ini adalah kali kedua kejadian tanah runtuh di belakang rumahnya itu berlaku selepas kejadian baru-baru ini.

"Ketika ini, kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah anak saya," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua rumah mengalami kerosakan akibat tanah runtuh di Kampung Annah Sadir, Padawan kira-kira jam 3.30 pagi Selasa.

Menurut ketua kampungnya, Sagu Bakong kejadian tanah runtuh itu berlaku akibat hujan yang berterusan sejak Isnin lepas. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!