Kritik proklamasi darurat khianat, derhaka

Dr Muhammad Faiz Bin Na'aman
Dr Muhammad Faiz Bin Na'aman
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan sesetengah pihak yang mengkritik atau menyindir niat sebenar proklamasi darurat yang diumumkan Yang di-Pertuan Agong semalam boleh dianggap sebagai khianat dan derhaka.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Bin Na'aman berkata, perbuatan mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong wajar dilihat sebagai hasutan dengan niat jahat.

“Terdapat segelintir manusia yang mengaku sebagai warganegara Malaysia tetapi mempertikai titah Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat tersebut.

“Kononnya untuk kepentingan politik pihak tertentu, negara tidak memerlukan darurat dan PRU masih boleh diadakan sewaktu darurat.

“Soalan saya kepada mereka itu, siapa kamu mahu mempertikaikan kebijaksanaan keputusan Agong?” soalnya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Faiz, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan darurat ini bukan sahaja mendengar nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri yang mewakili jemaah menteri, ketua-ketua pasukan bersenjata serta ketua-ketua kementerian atau agensi kerajaan yang berkaitan.

Ujarnya, ini membuktikan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertindak secara adil, neutral dan bebas tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan selain dari kepentingan negara.

“Paduka Baginda sebelum ini pernah menolak nasihat untuk darurat tersebut seperti yang pernah terjadi dalam hujung tahun lepas apabila, melalui kebijaksanaan baginda, merasakan negara masih belum memerlukannya.

Artikel Berkaitan:

“Ini bermakna bukan hanya Perdana Menteri yang memberi pendapat atau nasihat kepada Paduka Baginda, namun beliau juga bertindak mewakili suara kolektif kerajaan Malaysia,” katanya.