48 kenderaan diarah patah balik

Abdul Majid ketika meninjau SJR di Jalan Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, di sini, pada Rabu.
Abdul Majid ketika meninjau SJR di Jalan Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, di sini, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Mahu membeli makan antara alasan tidak munasabah yang diberikan pemandu kenderaan yang melintasi sempadan daerah Alor Gajah dan Jasin ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Sikap tidak mengendahkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan itu juga menyebabkan mereka diarahkan berpatah balik.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, sehingga kini 48 pemandu diarahkan berpatah balik dan jumlah itu direkodkan dalam tempoh kurang tujuh jam dalam sekatan jalan raya (SJR).

Menurutnya, daripada jumlah itu lima pemandu juga dikompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu merentas negeri tanpa sebarang dokumen atau kebenaran.

"Sejak sekatan itu dibuka dari jam 12.01 tengah malam sehingga 7 pagi pada Rabu, sebanyak 4,218 kenderaan telah diperiksa di 15 SJR tetap di tiga daerah negeri ini dan 11 SJR begerak (mobile).

Abdul Majid (depan) melihat dokumen kebenaran salah seorang pemandu di SJR Jalan Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, di sini, pada Rabu.
Abdul Majid (depan) melihat dokumen kebenaran salah seorang pemandu di SJR Jalan Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, di sini, pada Rabu.

"Orang ramai perlu memahami SOP yang ditetapkan iaitu membeli bekalan makanan dan keperluan harian di dalam kawasan pada jarak tidak melebihi radius 10 kilometer," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau SJR di Jalan Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, sekiranya bekalan asas seperti perubatan tiada dalam radius penempatan, pihaknya tiada masalah untuk bertoleransi dan mempertimbangkan kebenaran membolehkan mereka merentas daerah.

Artikel Berkaitan:

"Bagi permulaan pelaksanaan PKP 2.0 kita akan memberikan sedikit kelonggaran selama tiga hari untuk mendidik masyarakat namun akan lebih bertegas selepas tiga hari supaya rantaian Covid-19 dapat diputuskan," katanya.

Dalam pada itu, dianggarkan seramai 700 penguat kuasa terdiri daripada pegawai dan anggota bagi pasukan pematuhan.