16 maut serangan tentera udara Israel di Syria

Gambar fail menunjukkan sebuah helikopter tentera AH-64 Apache milik rejim Zionis dilihat berada di Bukit Golan yang dikuasai Israel dan bersempadan dengan Syria pada tahun lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah helikopter tentera AH-64 Apache milik rejim Zionis dilihat berada di Bukit Golan yang dikuasai Israel dan bersempadan dengan Syria pada tahun lalu. - Foto AFP
A
A
A

BEIRUT - Serangan udara Israel pada waktu malam yang menyasarkan depot-depot dan kedudukan tentera Presiden Bashar Al-Assad di timur Syria menyebabkan sekurang-kurangya lima askar negara itu dan 11 para pejuang terbunuh, kata pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia pada Rabu.

Tentera udara rejim Zionis melakukan lebih 18 kali serangan ke atas pelbagai sasaran di sebuah kawasan dari bandar Deir Ezzor, timur negara tersebut sehingga ke gurun Boukamal di sempadan Syria dengan Iraq, menurut laporan pertubuhan yang beribu pejabat di Britain itu.

Serangan itu membunuh lima askar Syria dan 11 pejuang yang bersekutu dengan tentera negara tersebut,

Sebelas pejuang itu merupakan anggota Pasukan Pengawal Revolusi Iran, Hezbollah Lubnan dan Briged Fatimid yang turut mempunyai pejuang-pejuang Afghanistan yang pro-Teheran, kata pertubuhan berkenaan.

Agensi berita Syria, SANA turut melaporkan tentang serangan tersebut tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

"Pada pukul 1.10 pagi, tentera Israel melakukan satu serangan udara di bandar Deir Ezzor dan wilayah Boukamal," lapor SANA yang memetik kenyataan daripada satu sumber tentera seperti dilaporkan oleh AFP.

"Kesan akibat serangan tersebut kini sedang disahkan," tambah laporan tersebut.

Ia merupakan gelombang kedua serangan udara tentera rejim Zionis dalam tempoh kurang daripada seminggu.

Artikel Berkaitan:

Serangan terakhir tentera Israel ialah pada 7 Januari lalu di selatan Syria dan selatan ibu negara Damsyik yang menyebabkan tiga pejuang pro-Iran terbunuh.

Pada kebiasaannya, rejim Zionis kerap melakukan serangan di Syria dengan kebanyakannya menyasarkan sasaran-sasaran yang mempunyai kaitan dengan Iran bagi menghalang para pejuangnya mendekati sempadan dengan Israel.

Iran mempunyai anggota-anggota tenteranya sendiri termasuk para pejuang dari pelbagai kewarganegaraan yang berjuang menentang militia sebagai sokongan kepada Bashar.

Syria terlibat dalam kancah perang saudara sejak tahun 2011 yang menyebabkan lebih 380,000 orang terbunuh dan berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal. - Agensi