APM perlu tambahan 3,500 perjawatan tetap

Norhafifi
Norhafifi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memerlukan tambahan 3,500 perjawatan tetap bagi memantapkan perkhidmatan agensi itu di samping mengimbangi keperluan operasi dan pengurusan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Norhafifi Ismail berkata, pada masa ini agensi itu mempunyai 1,265 pegawai lantikan tetap dan daripada jumlah itu, hanya 576 pegawai daripada Skim Keselamatan Pertahanan Awam.

Menurutnya, penambahan jawatan menerusi skim itu adalah wajar mengambil kira peranan dan tanggungjawab APM yang luas.

"Pegawai dan anggota tetap seperti saya di seluruh negara hanya ada 576 orang tapi jika diambil kira peranan dan tanggungjawab APM dalam perkhidmatan bantuan kecemasan termasuk bencana banjir dan pandemik Covid-19 berbanding 32 juta rakyat Malaysia, ia terlalu kecil.

"Kalau kita buat perbandingan, seorang pegawai APM perlu melihat kira-kira 50,000 orang dan menjaga keselamatan nyawa orang awam serta harta benda mereka.

"Kita faham kekangan dihadapi kerajaan tapi kita harap kerajaan pertimbangkan untuk menambah pegawai dan anggota tetap bagi mengimbangi keperluan operasi dan pengurusan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan Lawatan Kerja Rasmi Pasca Banjir ke Terengganu di Bilik Gerakan Bencana Negeri di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Mengulas lanjut, Norhafifi berkata, buat masa ini APM banyak menggunakan khidmat tenaga lebih 5,000 sukarelawan berdaftar untuk memperkasakan pengurusan bencana di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bantuan anggota sukarelawan itu banyak membantu ketika negara menghadapi banjir dan Covid-19.