X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah sekitar KL lengang susulan pelaksanaan semula PKP

Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan di pintu masuk utama Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) di sini yang kebiasaannya sentiasa sibuk bertukar lengang susulan arahan kerajaan yang menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Rabu untuk mengekang penularan Covid-19.

Tinjauan Bernama di KMKL pada hari pertama PKP dilaksanakan mendapati hanya beberapa kenderaan dinaiki Hakim, Majistret dan Timbalan Pendakwa Raya yang bertugas secara bergilir-gilir dibenarkan masuk sepanjang tempoh dua minggu perintah itu.

Menurut seorang petugas mahkamah, hanya beberapa bilik mahkamah, antaranya sebuah bilik Mahkamah Sesyen dan dua bilik Mahkamah Majistret dibuka untuk sebutan kes-kes baharu.

“Media dan orang awam tidak dibenarkan masuk kecuali petugas mahkamah dan pihak peguam yang terlibat dalam kes baharu,” katanya kepada Bernama.

Berlainan di Mahkamah Ampang, Petaling Jaya dan Selayang, pihak media dibenarkan masuk bagi membuat liputan kes-kes baharu dengan pematuhan SOP yang ditetapkan iaitu pengesanan suhu badan, pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakkan fizikal sepanjang masa ketika berada di kawasan mahkamah.

Menurut seorang petugas Mahkamah Selayang, setiap individu yang ingin memasuki pekarangan mahkamah perlu diperiksa suhu dan mengimbas kod QR mahkamah sebelum diberikan pelekat kuning yang ditulis suhu yang telah diperiksa.

Pada Selasa, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan memaklumkan, semua pendengaran dan perbicaraan kes jenayah di mahkamah terbuka bermula Rabu (13 Januari) hingga 26 Januari ditangguhkan susulan pelaksanaan PKP.

Bagaimanapun, menurut PKPMP perbicaraan atau pendengaran kes sivil di mahkamah seluruh negara ini boleh dikendalikan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

Pada Isnin lepas, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula Rabu (13 Januari) hingga 26 Januari.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata enam lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB), manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak untuk tempoh sama. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!