Konsep jangan jaga tepi kain orang tidak boleh diamalkan

Mohd Khairul Adib Abd Rahman
Mohd Khairul Adib Abd Rahman
A
A
A

PUTRAJAYA - Penjawat awam tidak boleh lagi mengamalkan sikap 'jangan jaga tepi kain orang' bagi memastikan rasuah dalam kalangan warganya dapat ditangani.

Sebaliknya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, penjawat awam perlu bersama-sama menjaga dan memerhati perlakuan rakan sekeliling.

"Ini kerana, mereka yang menjadi 'jiran' kita ini, jika mereka rosak, maka rosak jugalah persekitaran rumah kita.

"Jika sampah dibuang ke luar laman berhari-hari, maka pasti busuknya akan terhidu sehingga ke rumah kita," katanya ketika menyampaikan Amanat KPPA 2021: Mendepani Cabaran Melangkaui Ekspektasi, secara dalam talian pada Rabu.

Menurutnya, penjawat awam mempunyai pilihan untuk mengambil tindakan bersesuaian jika menyedari sebarang bibit kerja yang tidak berintegriti.

"Kita boleh memberi nasihat sekiranya ia melibatkan orang yang kita kenal atau rakan sekerja dan jika melibatkan orang yang tidak dikenali, boleh salurkan maklumat kepada ketua jabatan ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Beliau berkata, tahun 2020 menyaksikan minoriti penjawat awam telah ditangkap dan dituduh kerana menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

"Bagaimanapun majoriti penjawat awam masih teguh dengan ikrar memastikan perkhidmatan awam bersih dan berintegriti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairul berkata, selain kes yang didedahkan melalui media massa, terdapat juga ketirisan yang berlaku dalam perkhidmatan awam dan dilihat sebagai biasa.

"Tidak hairanlah apabila orang ramai mengaitkan jabatan tertentu dengan pegawai yang korup dan terbabit dengan rasuah," katanya

Menurutnya, keruntuhan integriti penjawat awam bukan lagi isu individu atau dalaman organisasi lain tetapi ia merupakan isu bersama.

"Jika kita tidak melakukan sesuatu, ia akan terus menjadi barah yang tidak boleh diubati lagi dan akhirnya negara kita yang akan rosak binasa," katanya.

Katanya, sekiranya semua penjawat awam mengambil peduli isu rasuah, ketirisan amanah dan sebagainya, perkara itu akan dapat ditangani.

"Mungkin agak sukar untuk menghapuskannya sama sekali, tetapi jika kes-kes integriti dapat dikurangkan, hanya tinggal mereka yang bebas rasuah menjadi majoriti dalam semua jabatan, insya-ALLAH kita telah berjaya," katanya.