Pence tegaskan tidak sokong tindakan pecat Trump

 Mike Pence. - Foto AFP
Mike Pence. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence pada malam Selasa lalu memberitahu wakil-wakil rakyat di Dewan Perwakilan bahawa beliau tidak menyokong penggunaan Pindaan ke-25 bagi memecat Presiden AS, Donald Trump.

Beliau membuat keputusan itu beberapa jam sebelum dewan tersebut yang majoritinya dikuasai parti Demokrat mengundi untuk mendesak Pence dan anggota Kabinet menggunakan Pindaan ke-25 dalam Perlembagaan AS bagi menyingkirkan Trump.

"Hanya cuma tinggal lapan hari penggal pemerintahan Trump. Anda dan kaukus parti Demokrat menuntut bahawa Kabinet dan saya menggunakan Pindaan ke-25," kata Pence menerusi sepucuk surat kepada Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi seperti dilaporkan oleh AFP.

Pindaan ke-25 itu merujuk kepada proses bagi mengisytiharkan Presiden AS itu tidak berupaya untuk menjalankan tanggungjawabnya sekali gus tempatnya digantikan dengan Pence untuk baki penggal pemerintahan Trump.

Pada Rabu minggu lalu, lima orang mati selepas para penyokong Trump menyerbu bangunan Capitol di Washington D.C bagi mengagalkan Kongres AS mengisytiharkan bekas Naib Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokrat sebagai bakal Presiden negara itu.

Ia adalah disebabkan oleh Biden berjaya menewaskan Trump pada pilihan raya Presiden yang diadakan pada 3 November tahun lalu.

Sesi mengira undi elektoral yang dimenangi oleh Biden adalah prosedur biasa di Kongres AS tetapi terpaksa ditangguhkan lebih lima jam apabila wakil-wakil rakyat terpaksa berlindung ekoran rusuhan para penyokong Trump.

Turut sama mendapatkan perlindungan itu ialah Pence yang mempengerusikan kiraan undi tersebut dan Pelosi.

Artikel Berkaitan:

Biden akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden AS pada 20 Januari ini.

Dalam surat itu, Pence menulis: "Saya tidak percaya tindakan seperti itu adalah yang terbaik untuk negara kita mengundi berhubung langkah meminta beliau untuk memulakan proses ke-25 atau berisiko menghadapi satu undi pendakwaan menentang Trump."

Wakil-wakil rakyat parti Demokrat mahu memulakan proses bagi menyingkirkan Trump selepas beliau didakwa menggalakkan para penyokongnya berarak ke bangunan Capitol yang menempatkan Dewan Senat dan Dewan Perwakilan. - Agensi