Bersatu masih terbuka bergabung dengan MN, tunggu keputusan Zahid

Wacana siri ke-224 membincangkan topik PN: Kerjasama Sekerat Jalan? Dari kiri: Herleena Parlavy selaku moderator, Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (kanan), Bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM secara dalam talian berlangsung di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Wacana siri ke-224 membincangkan topik PN: Kerjasama Sekerat Jalan? Dari kiri: Herleena Parlavy selaku moderator, Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (kanan), Bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM secara dalam talian berlangsung di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa terbuka dan bersedia ke arah penyatuan tiga parti Melayu Islam yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini meskipun sedang berdepan pergolakan dalam kerjasama bersama UMNO.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, Bersatu terlebih dahulu telah menjawab surat tawaran menyertai Muafakat Nasional (MN) menyatakan persediaan parti untuk bersama dalam MN.

"Surat tawaran itu ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Bersatu telah bawa dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) dan kita juga dah jawab surat tentang persediaan kita untuk bersama dalam MN.

"Sekarang ini tunggu renspon daripada Ahmad Zahid, di pihak Pas tak ada masalah dan sepatutnya pada UMNO juga tidak ada masalah kerana surat menawarkan jemputan MN itu datangnya daripada Presiden UMNO sendiri,"katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panelis Wacana Sinar Siri 224 bertajuk 'PN: Kerjasama Sekerat Jalan?' di Studio F, Karangkraf pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pemimpin Perikatan Nasional (PN) perlu menghayati semangat langkah perpaduan yang ditonjolkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi mencapai kejayaan bersama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) kelak.

"Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, jika tak ada rundingan persefahaman pembahagian kerusi dan sebagainya antara Bersatu dan UMNO, mungkin pada hari ini Warisan masih kekal di Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau pada masa sama menegaskan bahawa PN di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah mengetepikan peranan yang boleh dimainkan parti-parti gabungan.

Bahkan katanya, selain meletakkan wakil UMNO dalam jawatan-jawatan penting kerajaan, sebelum kewujudan Majlis Presiden PN lagi sudah menjadi kelaziman Muhyiddin berjumpa dengan semua presiden parti terutamanya UMNO bagi mereka suarakan pendapat berhubung urusan kerajaan.

"Pelantikan Kabinet tidak memenuhi kehendak UMNO sepenuhnya. Saya fikir kita kena berlaku adil kepada Muhyiddin kerana tidak semua cadangan UMNO ditolak dan tak semua diambil kira.

"Beliau perlukan barisan Kabinet yang betul-betul mantap demi perkasakan ekonomi dan lain-lain aspek. Mungkin ada tokoh-tokoh dalam UMNO yang tidak disenaraikan kepada Perdana Menteri namun mempunyai kredibiliti," katanya.