Aksi di Anfield ujian sebenar United

Pogba (kiri), mengawal bola dan cuba melepasi kawalan pertahanan Burnley pada perlawanan berkenaan.
Pogba (kiri), mengawal bola dan cuba melepasi kawalan pertahanan Burnley pada perlawanan berkenaan.
A
A
A

AKSI berdepan Liverpool di Anfield hujung minggu ini disifatkan sebagai ujian sebenar buat Manchester United dalam usaha merealisasikan ‘misi’ menawan puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.

Perkara itu ditegaskan pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer setelah menyaksikan skuad kendaliannya itu menewaskan Burnley di Turf Moor pada awal pagi Rabu dan sekali gus memintas kedudukan The Reds selaku pendahulu EPL dengan kelebihan tiga mata.

Menurut Solskjaer, pihaknya kini hanya menanti hari perlawanan berkenaan dan berharap kesebelasan The Red Devils telah bersedia.

“Kini kami ibarat bakal mengharungi ‘ujian besar’ untuk berdepan Liverpool yang juga kami sifatkan sebagai pasukan terbaik di EPL.

“Namun, aksi kami semakin baik dari sehari ke sehari dan buat masa ini kami gembira berada di sini (puncak),” katanya.

Pada perlawanan dengan Burnley, United memperolehi gol tunggal menerusi jaringan Paul Pogba pada minit ke-71; namun ia dilihat sudah memadai untuk memberikan tiga mata buat skuad United.

Sekali gus menyaksikan skuad The Red Devils itu berada di puncak EPL buat julung kalinya pada peringkat awal saingan EPL setelah kali terakhir melakukannya pada musim 2013 lalu di bawah bimbingan Sir Alex Fergusson.

Mengulas aksi berdepan Burnley, Solskjaer berkata, dia berpuas hati dengan aksi kesebelasan United di sepanjang perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Biarpun terpaksa berdepan dengan beberapa keputusan pengadil yang disifatkan sebagai ‘berat sebelah,’ namun Solskjaer gembira dengan semangat juang kesebelasan anak didiknya di sepanjang perlawanan.

“Kami tidak membiarkan ‘kekecewaan’ (akibat keputusan pengadil) mempengaruhi permainan kami dan kami meneruskan aksi seperti biasa.

“Setelah menjaringkan gol, kami memperolehi banyak lagi peluang jaringan dan saya lebih gembira jika kami mampu menangan 4-0.

“Namun kami sedar, kami beraksi di Turf Moor (gelanggang lawan). Apa pun, saya tetap gembira dengan semangat yang ditunjukkan pemain,” katanya.