145 anggota PDRM, ATM pantau pematuhan PKP di Ampang

Mohd Azam sedang memberi nasihat kepada orang awam yang melalui sekatan jalan raya di Jalan Ampang di hadapan apartment Desa 288 di sini pada Rabu.
Mohd Azam sedang memberi nasihat kepada orang awam yang melalui sekatan jalan raya di Jalan Ampang di hadapan apartment Desa 288 di sini pada Rabu.
A
A
A

AMPANG - Seramai 145 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat pemantauan terhadap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Mohd Azam Ismail berkata, daripada jumlah tersebut seramai 118 anggota dan pegawai PDRM manakala 27 anggota ATM akan melakukan pemantauan, rondaan dan sekatan jalan raya.

"Kita telah mewujudkan empat pasukan pemantau dan dua pasukan untuk melaksanakan sekatan jalan raya," katanya ketika ditemui di lokasi sekatan jalan raya di Jalan Ampang, hadapan apartment Desa 288 di sini pada Rabu.

Tambah Mohd Azam, terdapat tiga lokasi sekatan jalan raya antaranya di Jalan Ampang, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Klang Gate dan di Cheras Indah.

"Kita akan menambah lagi jumlah sekatan jalan raya sekiranya terdapat keperluan pada masa hadapan," kata beliau lagi.

Beliau turut mengingatkan orang awam mengikut arahan dan peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP d sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah itu.

Terdahulu, Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar bermula 13 Januari 2021 (Rabu) untuk mengatasi lonjakan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Keputusan itu dibuat susulan kes harian positif Covid-19 di negara ini kekal empat angka direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

Pelaksanaan itu melibatkan enam buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Sementara, PKP Bersyarat melibatkan enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah Terangganu dan Kelantan. PKP Pemulihan pula dilaksanakan di Perlis dan Sarawak.