Sultan Johor benarkan solat Jumaat, fardu dengan 12 jemaah

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di semua masjid dan surau di Johor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi dengan had maksima 12 jemaah sahaja.

Sultan Johor bertitah, pelaksanaan itu bermula dari 13 hingga 26 Januari yang hanya membenarkan jemaah terdiri daripada pegawai masjid serta ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau.

"Ini juga termasuk aktiviti pengimarahan masjid dan surau, aktiviti di tanah perkuburan Islam dan majlis akad nikah. Aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang dibenarkan ialah solat jenazah dengan had maksima 12 orang.

"Tazkir dan tarhim dibenarkan oleh pegawai masjid dan surau sahaja dan solat hajat mengiringi solat fardu lima waktu dan solat fardu Jumaat," titah baginda dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Sultan Ibrahim bertitah, bagi bacaan Surah Al-Mulk selepas solat fardu Isyak, bacaan surah Al-Kahfi selepas solat fardu subuh pada Jumaat dan bacaan surah Yasin dan tahlil perlu dilaksanakan di rumah masing-masing.

"Lain-lain aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang memiliki jumlah masa yang panjang seperti kuliah, ceramah, program membudayakan al-Quran dan sebagainya adalah tidak dibenarkan," titah baginda.

Menurut Sultan Ibrahim, bagi aktiviti di tanah perkuburan, urusan pengebumian jenazah dihadkan jumlah petugas dan waris kepada 20 orang sahaja, manakala aktiviti ziarah tanah perkuburan tidak dibenarkan.

Titah baginda, majlis akad nikah hanya dibenarkan di Pejabat Kadi Daerah dan terhad kepada pasangan pengantin dan wali dari daerah yang sama sahaja selepas memperoleh kebenaran berkahwin sebelum dari tarikh PKP.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pasangan pengantin yang memperoleh kebenaran berkahwin sebelum PKP tetapi berada di luar daerah atau negeri dari tempat majlis akad nikah iaitu Pejabat Kadi Daerah, majlis akad nikah pasangan tersebut hendaklah ditangguhkan dan akan dijadualkan semula tarikh pernikahan oleh Pejabat Kadi Daerah.

"Lain-lain urusan nikah cerai dan rujuk yang dibenarkan seperti pendaftaran cerai dan rujuk, permohonan kad perakuan nikah dan pengambilan dokumen nikah, cerai dan rujuk di Pejabat Kadi Daerah," titah baginda.

Titah Sultan Ibrahim lagi, bagi permohonan baharu kebenaran nikah, permohonan pengesahan pendaftaran perkahwinan dan poligami ditangguhkan dalam tempoh PKP.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua Bangsa Johor dan umat Islam di negeri ini, marilah sama-sama kita muafakat bersatu hati dan berdoa kepada ALLAH SWT agar sentiasa dalam peliharaan ALLAH jua dan diberikan perlindungan daripada apa jua bala bencana, wabak dan malapetaka khususnya pandemik Covid-19 ini," titah Sultan Johor.