Bekas ahli Umno Sabah bakal terima saman - Annuar

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa
Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas ahli Umno yang bertanding atas tiket Barisan Nasional dalam PRU Ke-14 lepas dan keluar parti itu bakal menerima saman daripada Umno kata Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata tindakan undang-undang itu akan diambil terhadap Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertanding dalam pilihan raya umum lepas.

“Tindakan undang-undang itu diambil bukan untuk menghalang keputusan mereka untuk keluar meninggalkan parti kerana itu adalah keputusan dan hak masing-masing.

“Ini bukan soal mereka melompat parti tetapi mereka ada kontrak, menerima dana daripada parti, bantuan tertentu daripada parti untuk mendukung amanah parti termasuk menggunakan lambang parti dengan tandatangan presiden,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan bersama anggota Umno di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan itu diambil berdasarkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno dan proses untuk mengemukakan saman itu akan memakan masa kerana perlu melalui beberapa proses termasuk penyediaan dokumen dan lantikan peguam.

“Beberapa orang telah disaman, yang lain-lain belum lagi bukan bermakna yang belum itu mereka tidak disaman, MT akan buat keputusan dari semasa ke semasa. Jika mereka ‘rujuk’ semula, itu adalah isu yang berlainan, saman tetap ‘jalan terus’,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata Umno Sabah telah melantik ketua-ketua di peringkat bahagian termasuk ketua bahagian, ketua pemuda, ketua wanita dan puteri yang hampir kesemuanya adalah muka baharu.

Beliau berkata pelantikan itu bagi menstruktur semula parti itu di bawah pimpinan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.

Artikel Berkaitan:

Katanya, anggota parti yang dilantik itu terbukti sebagai anggota parti yang setia selain telah lama berkhidmat kepada parti itu walaupun tidak memegang sebarang jawatan.

“Umno Sabah seperti mana yang dipersetujui oleh MT diberikan autonomi tertentu yang akan diperincikan dari semasa ke semasa bagi membolehkan Umno Sabah membuat keputusan dan ketetapan” katanya.

Pada 12 Disember tahun lepas, lima ahli Parlimen, sembilan ADUN dan dua senator, termasuk Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar Umno. - Bernama